Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.4380/4500 berbanding dolar AS daripada 4.4440/4505 semasa ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prestasi ringgit optimis di tengah-tengah jangkaan pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik bagi suku kedua 2024 yang akan diumumkan Jumaat ini.
Mengenai Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS, Mohd Afzanizam berkata ia lebih rendah berbanding jangkaan iaitu 2.2 peratus pada Julai berbanding anggaran konsensus 2.3 peratus dan 2.7 peratus pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, IHPR teras turut menyusut kepada 2.4 peratus daripada 3.0 peratus sebelumnya.
"Keadaan sedemikian menunjukkan trend disinflasi sedang berlaku dan tidak lama lagi, inflasi akan mencapai sasaran dasar Rizab Persekutuan sebanyak 2.0 peratus," katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.50 peratus kepada 102.624 mata manakala hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun dan 10 tahun masing-masing turun sembilan dan enam mata asas kepada 3.93 peratus dan 3.84 peratus, katanya.
Mohd Afzanizam berkata, justeru, ringgit berbanding dolar AS boleh bergerak menuju paras sokongan RM4.40.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia menyusut berbanding euro kepada 4.8796/8928 daripada 4.8520/8591 semasa ditutup semalam, rendah berbanding yen Jepun kepada 3.0193/0278 daripada 3.0053/0099 dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.7095/7249 daripada 5.6839/6922 sebelumnya.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Mata wang tempatan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 280.3/281.1 daripada 280.6/281.1 dan kukuh berbanding peso Filipina kepada 7.79/7.81 daripada 7.80/7.81 sebelumnya.
Bagaimanapun, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3693/3786 daripada 3.3590/3642 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.6655/7081 daripada 12.6351/6578 sebelum ini.
-- BERNAMA