Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan AS

Bernama
Oktober 31, 2023 11:40 MYT
Pada 9.05 pagi, ringgit mengukuh kepada paras 4.7515/7580 berbanding dolar AS daripada penutup semalam pada 4.7600/7645. -Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) AS selama dua hari bermula hari ini dengan bank pusat Amerika itu dijangka menyokong kadar faedah.
Selain itu, keputusan dasar monetari Bank of Japan (BOJ) juga akan menjadi tumpuan hari ini.
Pada 9.05 pagi, ringgit mengukuh kepada paras 4.7515/7580 berbanding dolar AS daripada penutup semalam pada 4.7600/7645.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut menjangkakan Rizab Persekutuan mengekalkan kadar dananya pada 5.50 peratus.
"Ringgit naik 0.32 peratus berbanding dolar AS semalam walaupun di tengah-tengah pelbagai mesyuarat dasar monetari global yang berlaku minggu ini dan Indeks Dolar AS (DXY) turun 0.4 peratus untuk mencapai 106.138 mata.
"Hari ini, peserta pasaran kewangan juga akan memberi tumpuan kepada keputusan dasar monetari Bank of Japan (BOJ) dengan jangkaan bank pusat berkenaan mungkin membuat perubahan pada kawalan keluk hasilnya, yang berpotensi membawa kepada peningkatan hasil lebih daripada satu peratus," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Nilai ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1804/1850 daripada 3.1810/1842 pada penutup pada Isnin.
Namun begitu, mata wang tempatan susut berbanding euro kepada 5.0404/0473 daripada 5.0375/0423 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.7759/7838 daripada 5.7734/7789 sebelumnya.
Berbanding mata wang Asean yang lain, ringgit diniagakan tinggi.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4812/4862 daripada 3.4841/4877, tinggi berbanding peso Filipina pada 8.36/8.38 daripada 8.37/8.38 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia pada 298.9/299.5 daripada 299.5/299.9.
Nilai ringgit juga tinggi berbanding baht Thai kepada 13.2243/2479 daripada 13.2351/2531 pada penutupan semalam.
-- BERNAMA
#dolar AS #ringgit #rizab persekutuan #fed
;