Ringgit terus melonjak berikutan potensi penurunan kadar faedah di AS

Bernama
Julai 18, 2024 02:30 MYT
Pada 8 pagi, ringgit melonjak kepada 4.6605/6660 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit terus melonjak dan mencecah paras tertinggi baharu dalam tempoh enam bulan pada sesi pembukaan hari ini berikutan potensi penurunan kadar faedah oleh Amerika Syarikat (AS) yang terus memacu mata wang tempatan.
Pada 8 pagi, ringgit melonjak kepada 4.6605/6660 berbanding dolar AS daripada 4.6625/6660 semalam.
Mata wang tempatan sebelum ini mencapai paras tertinggi dalam tempoh enam bulan berbanding dolar AS pada Jumaat lepas pada 4.6630.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Gabenor Rizab Persekutuan (Fed) AS Christopher Waller telah menyatakan bahawa tempoh untuk penurunan kadar faedah semakin hampir.
Selain itu, katanya apabila pegawai Fed memberi isyarat bahawa mereka mungkin memberi kelonggaran kepada dasar monetari dalam tempoh terdekat, Indeks Dolar AS (DXY) terus susut sebanyak 0.50 peratus kepada 103.748 mata.
"Ini jelas, kemungkinan kepada penurunan kadar faedah semakin mendapat keyakinan, justeru, situasi itu negatif terhadap dolar pada masa ini.
"Oleh itu, (terdapat banyak) ruang untuk peningkatan seterusnya bagi mata wang pasaran sedang pesat membangun, dan itu termasuk ringgit," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam menjangka ringgit akan terus meningkat tetapi peniaga mungkin mahu mengambil keuntungan buat sementara waktu.
Di peringkat domestik, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding pound kepada 6.0624/0695 daripada 6.0813/0859 pada Rabu dan naik berbanding euro kepada 5.0986/1046 daripada 5.1022/1060 sebelum ini.
Ringgit, bagaimanapun, merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9944/9983 daripada 2.9809/9834 semalam.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4785/4829 daripada 3.4810/4839 semalam, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 289.4/289.9 daripada 289.5/289.9 sebelum ini dan menambah berbanding baht Thailand kepada 12.9786/13.0023 daripada 12.9918/13.0070.
Bagaimanapun, ia tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.99/8.00 daripada 7.99/8.00 semalam.
-- BERNAMA
#ringgit #dolar AS #dagangan #mata wang asing