Ringgit terus ditutup tinggi berbanding dolar AS
Bernama
Februari 5, 2025 20:15 MYT
Februari 5, 2025 20:15 MYT
Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.4200/4260 berbanding dolar AS daripada 4.4400/4495 ketika ditutup pada Selasa. - Foto hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ringgit terus meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini di tengah-tengah kebimbangan mengenai kenaikan tarif AS dan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengekalkan kadar tarif akhir tahun ini, kata penganalisis.
Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.4200/4260 berbanding dolar AS daripada 4.4400/4495 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun wujud kebimbangan mengenai kenaikan tarif oleh pentadbiran Presiden AS Donald Trump dan kemungkinan tindak balas daripada negara yang terjejas, data tawaran pekerjaan AS yang merosot pada Disember memberi harapan bahawa Fed akan kekal dengan pelannya untuk mengurangkan kadar faedah pada akhir tahun ini.
"Paras semasa ringgit yang agak menarik berikutan keadaan terlebih jualan daripada sudut teknikal mungkin menarik minat pedagang untuk memperoleh ringgit.
"Jika tidak, kami masih meramalkan pasaran mata wang akan mengekalkan pendirian berhati-hati dalam tempoh terdekat," katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.
Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.8930/8972 daripada 2.8581/8645, rendah berbanding euro kepada 4.5990/6053 daripada 4.5905/6003 dan merosot berbanding pound kepada 5.5321/5396 daripada 5.5167/5285.
Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia sedikit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2746/2792 daripada 3.2741/2813 dan menyusut berbanding baht Thai kepada 13.1602/1844 daripada 13.1241/1580.
Ia sedikit berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 271.2/271.8 daripada 271.5/272.2 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.61/7.63 ketika ditutup pada Selasa.
-- BERNAMA