Ringgit terus catat kenaikan berikutan keyakinan meningkat terhadap satu lagi penurunan kadar faedah AS
Bernama
Disember 5, 2024 21:17 MYT
Disember 5, 2024 21:17 MYT
KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan kenaikan untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Khamis berikutan keyakinan yang meningkat bahawa terdapat satu lagi penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) pada pertengahan bulan ini.
Pada 6 petang, mata wang tempatan naik kepada 4.4250/4305 berbanding dolar AS daripada .4505/4550 pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mendapat sokongan yang baik dengan meningkat sehingga RM4.4173 berbanding dolar AS pada sesi pagi tetapi merosot kepada sekitar RM4.4275 pada akhir sesi dagangan.
"Trend itu sejajar dengan penurunan Indeks Dolar AS (DXY) kepada 106.206 mata. Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka menurunkan Kadar Dana Fed sebanyak 25 mata asas lagi dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 17 hingga 18 Disember ini berdasarkan dasar monetari AS yang kekal ketat dan telah menjejaskan momentum pertumbuhan.
"Data terkini mengenai Indeks ISM untuk sektor bukan pembuatan mencatatkan 52.1 mata pada November daripada 56 mata sebelum ini menunjukkan sektor perkhidmatan AS lemah walaupun pada amnya, ia masih bersifat pengembangan," katanya kepada Bernama.
Afzanizam berkata Fed mungkin mahu melonggarkan dasar monetarinya supaya pertumbuhan ekonomi AS yang tanpa menghadapi risiko kemelesetan dapat direalisasikan pada 2025.
Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding pound kepada 5.6286/6356 daripada 5.6415/6472, naik berbanding euro kepada 4.6586/6644 daripada 4.6735/6782 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9439/9478 daripada 2.9546/9580 pada Rabu.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2985/3029 daripada 3.3057/3093 pada Rabu, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 278.9/279.4 daripada 279.2/279.6 dan menambah berbanding baht Thailand kepada 12.9462/9710 daripada 12.9563/9751 sebelum ini.
Ringgit hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.64/7.66 daripada 7.64/7.65.
-- BERNAMA