Ringgit tak stabil kerana nilai tidak ditetap, dijamin kerajaan - Tun Mahathir

Firdaus Azil
Mei 11, 2022 08:09 MYT
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ketika ini ringgit tidak stabil kerana nilainya tidak ditetapkan dan dijamin pihak kerajaan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berpandangan penetapan kadar pertukaran nilai matawang, seperti yang pernah beliau laksanakan pada penghujung 90an dahulu, mampu mengukuhkan kembali nilai ringgit.
Dalam catatan terbaharunya, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ketika ini ringgit tidak stabil kerana nilainya tidak ditetapkan dan dijamin pihak kerajaan.
Dr Mahathir berkata, biarpun aktiviti dagangan negara yang kini melonjak naik dan menyumbang kepada ekonomi negara, namun nilai ringgit menjadi tidak stabil sewaktu negara dilanda wabak COVID-19.
“Bagi peniaga yang import bahan dengan dolar Amerika atau meminjam dolar Amerika, jatuhnya nilai ringgit berbanding dolar Amerika meningkatkan kos pengeluaran dan harga pasar produk. Kerana kenaikan ini harga baharu jualan perlu ambil kira nilai ringgit berbanding dengan dolar Amerika.
“Tetapi jangan cakap berkenaan fixed exchange rate. Ini taboo, haram. Ya. Pada 1997-8 fixed exchange rate selamatkan kita. Tetapi itu kerana orang politik tidak faham sistem kewangan. Jangan ikut mereka,” katanya lagi.
Media baru-baru ini melaporkan, Kejatuhan nilai mata wang tidak hanya eksklusif kepada ringgit, sebaliknya melibatkan banyak lagi mata wang lain.
Ketua Pakar Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata, antara mata wang lain yang turut terkesan seperti yen, yuan, euro, pound sterling dan Swiss franc.
Jelasnya, kejatuhan mata wang tersebut bukan disebabkan oleh ia melemah, sebaliknya dolar Amerika Syarikat (AS) yang mengukuh.
Menurut Bank Negara Malaysia, setakat jam 12.00 tengah hari 11 Mei 2022, ringgit didagang pada kadar RM4.3835 berbanding dolar Amerika.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, tindakan beliau menetapkan nilai ringgit pada RM3.80 berbanding Dolar Amerika pada 1997-98 dahulu telah dikecam oleh ramai pihak.
“Pendapat saya didapati semasa menangani krisis mata wang pada 1997-8. Walaupun tindakan Malaysia dikecam hebat tetapi ia berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai ringgit dan kewangan kita dipulih semula.
“Akhirnya pihak IMF dan World Bank mengakui bahawa tindakan Malaysia berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai ringgit dan kemiskinan yang berlaku kerananya,” katanya lagi.
Dr Mahathir berkata, peniaga mata wang sama seperti bank, iaitu boleh memberi pinjam, atau menjual wang yang tiada pada mereka, dan pinjaman atau penjualan itu akan mejadi sah apabila wang tersebut disampaikan kepada peminjam atau pembeli kemudian.
Namun, tambahnya lagi, penjualan ringgit oleh pihak berkenaan menyebabkan pasar kewangan dipenuhi dengan ringgit.
“Mengikut teori supply and demand, apabila supply bertambah, permintaan akan berkurangan. Apabila tidak ada demand untuk ringgit, nilai ringgit akan jatuh.
“Apabila nilai ringgit jatuh, permintaan akan meningkat. Peniaga mata wang akan beli ringgit yang sudah jatuh nilai dan akan deliver kepada pembeli yang telah beli ringgit pada nilai yang tinggi sebelum jatuh nilainya,” katanya lagi.
Susulan daripada itu, Dr Mahathir berkata, peniaga akan memperoleh untung kerana menjual ringgit di masa nilainya tinggi, dan membekal kemudian dengan ringgit yang dibeli semasa nilainya rendah.
Namun, jelas Presiden Parti Pejuang Tanah Air itu lagi, apabila nilai ringgit jatuh, pihak yang meminjam atau peniaga akan rugi.
“Mereka perlu bayar dengan lebih banyak ringgit yang sudah jatuh nilai. Katakanlah mereka pinjam RM1,000 diwaktu nilainya tinggi, apabila nilai jatuh 50 peratus, mereka mesti bayar hutang atau harga belian asal dengan RM2,000.
“Maka rugilah peminjam atau peniaga, sementara peniaga mata wang untung RM1,000 kerana di waktu pinjam RM1,000 cukup untuk kos tetapi di waktu nilai ringgit jatuh 50%, lebih banyak ringgit diperlukan,” katanya lagi.
Dr Mahathir berkata, perkara itu berlaku pada 1997-8 diwaktu mana nilai ringgit jatuh kerana peniaga mata wang menjual banyak ringgit, yang bukan pun dimiliki oleh mereka.
Harapan pihak berkenaan ketika itu, jelas beliau lagi, ialah apabila nilai ringgit jatuh, mereka boleh membeli ringgit dengan nilai yang murah, dan untuk dibekal kepada pembeli asal kemudiannya.
“Apabila kita tetapkan nilai ringgit pada RM3.80 satu dolar AS, dan kita jamin bekalan US dolar kepada sesiapa yang sanggup membayar RM3.80 untuk 1 dolar AS maka nilai ringgit tidak lagi akan turun naik.
“Dan peniaga mata wang pun tidak dapat turunkan nilai ringgit dengan menjual ringgit dengan banyaknya untuk jatuhkan nilainya.
“Sebaliknya jika peminjam hutang dolar dan nilai dolar naik, lebih banyak ringgit diperlukan untuk membayar hutang satu dolar. Ini merugikan peminjam dan menguntungkan peniaga mata wang,” katanya lagi.
#Tun Dr Mahathir Mohamad #nilai ringgit #COVID-19 #kadar pertukaran