Ringgit susut 4.6 peratus pada suku kedua, tidak eksklusif pada Malaysia sahaja - Gabenor BNM
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 12, 2022 15:35 MYT
Ogos 12, 2022 15:35 MYT
KUALA LUMPUR: Nilai ringgit menyusut sebanyak 4.6 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua tahun ini.
Sehingga 10 Ogos lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan ia telah susut 6.3 peratus sejak awal tahun lalu.
Secara umumnya, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus memaklumkan penurunan tersebut adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau yang turut susut 5.8 peratus sehingga kini.
"Hal ini sebahagian besarnya mencerminkan pengukuhan dolar AS yang berterusan berikutan dasar monetari AS menjadi ketat secara agresif, penghindaran risiko pelabur yang meningkat disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang lebih lemah dan konflik ketenteraan di Ukraine.
"Walau bagaimanapun, harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan ekonomi Malaysia telah mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit disebabkan oleh perkembangan luaran pada suku itu," katanya dalam sidang media pengumuman KDNK Suku Kedua 2022 di sini pada Jumaat.
Pada masa hadapan, walaupun pasaran kewangan domestik akan terus bergantung pada beberapa tempoh volatiliti yang ketara, BNM berpandangan limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat terus dibendung secara keseluruhannya.
Hal ini disokong oleh kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang mantap.