Ringgit rendah berbanding dolar AS dalam dagangan awal berikutan aktiviti pengambilan untung
Bernama
Julai 15, 2024 11:50 MYT
Julai 15, 2024 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana.
Pada 8 pagi, ringgit merosot kepada 4.6725/6945 berbanding dolar AS daripada 4.6700/6730 pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan berada dalam kedudukan terlebih beli berikutan peningkatan pada minggu lepas.
"Kedudukan terlebih beli untuk ringgit berbanding dolar AS dari segi teknikal boleh menyebabkan peniaga mengambil keuntungan mereka," katanya kepada Bernama, sambil menambah trend yang menjadi kelaziman untuk ringgit yang kukuh masih kekal.
"Ringgit dijangka disokong dengan baik berikutan perbincangan mengenai pelonggaran dasar monetari AS yang semakin hangat sejak akhir-akhir ini.
"Ini sebahagian besarnya disebabkan data ekonomi yang lemah seperti indeks sentimen pengguna University of Michigan yang rendah apabila merosot kepada 66.0 mata pada Julai daripada 68.2 pada Jun," katanya.
Beliau berkata kadar inflasi AS turut sederhana dan ini menunjukkan dasar monetari yang ketat telah menurunkan kadar inflasi.
Oleh itu, beliau menjangka ringgit akan kekal pada paras RM4.67 hari ini.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.
Ia rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9528/9671 daripada 2.9338/9359 pada Jumaat lepas, merosot berbanding euro kepada 5.0865/1104 daripada 5.0838/0870 dan susut berbanding pound kepada 6.0588/0874 daripada 6.0481/0520 sebelum ini.
Ia diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4792/4961 daripada 3.4768/4793 pada Jumaat lepas, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 289.5/291.0 daripada 289.3/289.7 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.9142/9826 daripada 12.9023/9160 sebelum ini.
Mata wang tempatan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.00/8.04 daripada 8.00/8.00.
-- BERNAMA