Ringgit rendah berbanding dolar AS dalam dagangan awal

Bernama
September 9, 2024 10:15 MYT
Pada 8.07 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.3400/3565 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit rendah berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini menjelang data inflasi Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini, kata penganalisis.
Pada 8.07 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.3400/3565 berbanding dolar AS daripada 4.3275/3330 pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran akan memberi tumpuan kepada data utama seperti Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS untuk menilai inflasi serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun pada suku kedua 2024 serta IHP, perdagangan dan pinjaman baharu China.
"Terdapat juga aktiviti pengambilan untung yang sederhana berikutan mata wang tempatan berada dalam kedudukan terlebih beli susulan kenaikan baru-baru ini.
"Bagaimanapun, ringgit kekal positif berikutan potensi penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS minggu depan yang akan mengurangkan jurang antara Kadar Dana Fed dan Kadar Dasar Semalaman (OPR)," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Fed AS juga akan berkongsi unjuran makroekonominya yang terkini, terutamanya carta plot titik yang akan memberitahu hala tuju kadar faedah yang menjadi penanda aras.
"Persoalannya sekarang ialah sama ada ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan memilih penurunan sebanyak 25 atau 50 mata asas apabila mereka bertemu pada 17 hingga 18 Sept ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata dolar AS telah menunjukkan prestasi rendah sejak beberapa sesi dagangan yang lepas, dipengaruhi oleh data pasaran pekerjaan yang negatif, telah memberi impak ketara kepada pasaran pertukaran asing.
Selain itu, katanya ringgit disokong oleh data IHP China tahun ke tahun, dijadualkan dikeluarkan hari ini, dijangka menunjukkan peningkatan kepada 0.7 peratus daripada 0.5 peratus sebelum ini manakala ukuran bulan ke bulan dijangka kekal stabil pada 0.5 peratus.
"Walaupun kadar faedah sebenar lebih tinggi di China, yang seharusnya amat rendah atau malah negatif berdasarkan keadaan ekonomi semasa, pihak berkuasa China lambat dalam melaksanakan langkah-langkah sokongan yang diperlukan walaupun mereka terus menjanjikan untuk memberikan lebih banyak sokongan.
"Faktor ini secara keseluruhannya menunjukkan persekitaran yang menggalakkan untuk ringgit diniagakan tinggi berbanding dolar AS hari ini," katanya.
Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia merosot berbanding euro kepada 4.8126/8309 daripada 4.8087/8148 pada Jumaat lepas, rendah berbanding pound kepada 5.7019/7236 daripada 5.7010/7083 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.0471/0589 daripada 3.0296/0337.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 282.1/283.4 daripada 281.3/281.9 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.76/7.79 daripada 7.74/7.75 pada Jumaat lepas.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3305/3437 daripada 3.3327/3372 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.8676/9273 daripada 12.9087/9305.
-- BERNAMA
#ringgit #dolar AS #dagangan #mata wang asing
;