KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan prospek ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang berhati-hati mendorong lebih ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat, kata ahli ekonomi.

Pada 9.17 pagi, ringgit diniagakan rendah kepada 4.7200/7250 berbanding dolar AS daripada 4.7160/7190 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.14 peratus kepada 105.906.

Begitu juga, hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 2 tahun dan 10 tahun, masing-masing merosot 4.0 mata asas kepada 4.71 peratus dan 4.29 peratus berikutan pengukur inflasi pilihan dijangka turun pada Mei.

"Anggaran konsensus menambat indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) pada 2.6 peratus pada Mei daripada 2.8 peratus pada bulan sebelumnya," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata Presiden Federal Reserve Bank of Atlanta Raphael Bostic membayangkan Rizab Persekutuan AS mungkin cenderung untuk menurunkan kadar faedah yang menjadi penanda aras apabila inflasi terus mencatatkan penurunan.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dalam dagangan awal.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9311/9344 daripada 2.9383/9404 dan naik berbanding pound kepada 5.9604/9667 daripada 5.9643/9681.

Ia merosot berbanding euro kepada 5.0471/0524 daripada 5.0452/0484.

Ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4721/4761 daripada 3.4761/4788, bagaimanapun merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 287.7/288.0 daripada 287.4/287.7.

Ia rendah berbanding peso Filipina kepada 8.04/8.05 daripada 8.03/8.04.

Ringgit merosot berbanding baht Thailand kepada 12.7927/8115 daripada 12.7874/8015.

-- BERNAMA