Ringgit pacu inflasi lebih tinggi - Pakar
Najib Aroff
Ogos 7, 2015 23:10 MYT
Ogos 7, 2015 23:10 MYT
Kelemahan ringgit tidak hanya menjejaskan perniagaan yang melibatkan import barangan mentah, sebaliknya pengguna pada peringkat akhir.
Menurut Felo Utama Sekolah Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr John Antony Xavier, 70 peratus barangan import adalah untuk penghasilan produk pengguna di pasaran domestik dan kenaikan kos import pasti akan meningkatkan harga akhir barangan dan juga barangan import lain.
Dr John berkata meskipun harga minyak yang lebih murah di pam akan mengimbangi Indeks Harga Pengguna (IHP), namun bagi jangka panjang sekiranya ringgit terus merudum, ia akan meningkatkan inflasi.
"Bila nilai ringgit turun, kita perlu mengeluarkan banyak ringgit untuk membeli barangan yang kita import dalam nilai dolar, demikian kita akan alami inflasi import. ini akan burukan lagi inflasi kita yang telah pun dijana oleh GST," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Bagaimanapun Dr John berkata kadar inflasi semasa sekitar 2.5 hingga 3 peratus adalah tidak membimbangkan.
Tambahnya bagi mengatasi penyaluran kos kepada pengguna akhir, pengeluar perlu meningkatkan produktiviti.
"Salah satu tingkatkan produktiviti kita, supaya kita terus kurangkan kos pengeluaran barangan kita dengan inovasi dan Kajian serta Pembangunan (R&D)," katanya.
Ujar beliau sentimen kadar faedah Rizab Persekutan Amerika Syarikat terus memberi tekanan terhadap nilai ringgit kerana pelabur menarik keluar modal dari Malaysia untuk memasuki pasaran Amerika.
Ini menyaksikan penjualan ringgit besar besaran yang menjatuhkan nilai.
Selain itu Dr John berkata isu domestik turut menganggu keyakinan pelabur terhadap matawang tempatan.
"Setakat ini saya berpendapat tidak ada keadaan dan faktor yang boleg memberangsangkan kita, mengatakan kemerosotan ringgit akan disekat tanpa tindakan oleh kerajaan khususnya Bank Negara Malaysia." katanya sambil menambah Bank Negara boleh terus menyokong nilai ringgit dengan campur tangan dalam pasaran.
Namun campur tangan Bank Negara menerusi pembelian ringgit akan menjejaskan jumlah rizab tukaran asing dan ia tidak sihat untuk ekonomi.
Dr John percaya ringgit tidak akan melepasi nilai RM4 berbanidng dolar kerana asas ekonomi masih kukuh termasuk syarikat Malaysia yang masih kompetitif, serta kadar faedah yang masih menyokong aktiviti ekonomi.
Sementara itu Dekan Fakulti Perniagaan Malaysia Universiti Of Science And Technology Dr Yeah Kim Leng berkata tambatan ringgit hanya akan menganggu kemampuan ekonomi untuk menyelaras kepada sebarang perubahan ekonomi global.
Beliau berkata situasi terkini amat berbeza dengan krisis kewangan Asia 1997 dan 1998 dan tambatan ringgit berbanding dolar hanya akan memberikan kesan negatif susulan perubahan ekonomi global yang dinamik.
Ketidaktentuan nilai ringgit juga katanya adalah disebabkan faktor pusingan yang bersifat sementara berbanding akibat perubahan struktur ekonomi.
Ekonomi juga katanya mempunyai fleksibiliti yang cukup untuk menampan turun naik nilai ringgit
Kegusaran kini kata Dr Yeah, adalah bagaimana nilai ringgit akan menjejaskan pergerakan pelaburan asing dan kredebiliti polisi monetori dan kewangan negara.
Negara juga katanya mempunyai paras kecairan yang cukup untuk mengimbangi aliran keluar jangka pendek dan ia bukan kegusaran utama.
Tambatan juga katanya membantutkan pertumbuhan dan kejayaan dalam pelbagai aspek ekonomi dan perdagangan yang telah diusahakan selama ini melalui liberalisasi pasaran.