Ringgit melonjak ke paras 4.12 berbanding dolar AS

Bernama
September 27, 2024 20:42 MYT
Unit tempatan meningkat kepada 4.1230/1280 daripada paras penutup 4.1430/1485, meningkat 11.36 peratus setakat ini bagi tahun ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ringgit melonjak ke paras 4.12 berbanding dolar AS pada Jumaat, muncul sebagai antara mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di dunia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mengukuh sebanyak 1.6 peratus minggu ke minggu berbanding dolar AS.
Unit tempatan meningkat kepada 4.1230/1280 daripada paras penutup 4.1430/1485, meningkat 11.36 peratus setakat ini bagi tahun ini.
Mohd Afzanizam berkata unit tempatan itu mendapat sokongan yang baik, terutamanya semasa sesi pagi apabila dolar-ringgit mencecah RM4.1175 pada awal dagangan.
Beliau juga berkata bagi asas mingguan ringgit turut meningkat berbanding euro, pound British, yen Jepun dan dolar Singapura masing-masing sebanyak 1.9 peratus, 1.2 peratus, 1.7 peratus dan 1.2 peratus.
"Jangkaan umum penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat kekal utuh menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan datang pada November dan Disember," katanya kepada Bernama.
Selain itu, Mohd Afzanizam berkata lebih banyak bank pelaburan telah menyemak semula penarafan mereka terhadap Malaysia daripada "underweight" kepada "neutral", mencerminkan tinjauan lebih positif terhadap ekonomi negara dan, seterusnya, potensi ringgit lebih mengukuh pada masa depan.
Dalam jangka sederhana, BMI yakin terhadap prestasi ringgit memandangkan perbezaan hasil yang mengecil dengan AS dan prospek pertumbuhan yang agak berdaya tahan yang memberi petanda baik bagi unit tempatan.
"Risiko kepada unjuran kami cenderung ke arah ringgit yang lebih lemah dan bergantung sebahagian besarnya pada trajektori kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) dan pertumbuhan China," katanya dalam nota komentar.
Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain, kecuali yen Jepun.
Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6009/6064 daripada 4.6157/6218 pada Khamis dan naik berbanding pound Britain kepada 5.5178/5245 from 5.5317/5391 dan susut berbanding yen Jepun kepada 2.8804/8841 daripada 2.8634/8674.
Ringgit juga diniagakan kukuh berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2146/2187 daripada 3.2204/2249 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.35/7.37 daripada 7.40/7.41.
Ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 272.5/273.0 daripada 273.1/273.6 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.7202/7407 daripada 12.7242/7489.
-- BERNAMA
#ringgit #mata wang #bisnes #dolar AS #Amerika Syarikat
;