Ringgit lemah, siap sedia inflasi tinggi - Pakar
Najib Aroff
Mac 2, 2017 16:38 MYT
Mac 2, 2017 16:38 MYT
Kelemahan ringgit serta peningkatan harga minyak dijangka menolak naik inflasi bagi suku pertama dan kedua tahun ini.
Menurut Pakar Strategi Tukaran Asing Suresh Kumar Ramanathan, ringgit dijangka akan kekal lemah sehingga suku kedua meskipun wujud langkah kawalan oleh Bank Negara untuk menstabilkan unit tempatan.
“Tekanan harga dijangka berterusan kerana wujud faktor berganda iaitu peningkatan harga minyak dan kedua kelemahan ringgit di mana ia akan menyebabkan kos import lebih tinggi.
“Jadi inflasi akan lebih tinggi namun ini mungkin diseimbang kembali oleh kelemahan permintaan domestic akibat harga yang lebih mahal. Jika permintaan domestic melemah, ia akan meredakan tekanan inflasi.
“Ringgit dijangka tidak berubah opada suku ini dan harga minyak akan kekal tinggi. Namun segalanya bergantung jika BNM memperkenalkan langkah baharu untuk mengawal kelemahan ringgit.
“Langkah yang diperkenalkan pada 2 Disember lepas oleh bank pusat tidak begitu mengukuhkan ringgit namun ia menstabilkan matawang tempatan.” Katanya ketika dihubungi Astro Awani.
Suresh menambah kenaikkan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) bulan ini dijangka menolak nilai ringgit ke paras lebih rendah berbanding dolar AS.
Selain itu, pelan potongan cukai dan polisi ekonomi lain oleh Presiden Donald Trump juga dijangka mengukuhkan nilai dolar dan seterusnya memberi kesan kepada ringgit.
Ringgti dibuka rendah berbanding dolar AS awal hari ini pada 4.4480 berbanding dolar.
Indeks Harga Pengguna meningkat 3.2 peratus pada Januari berbanding tahun sebelumnya, menurut data Jabatan Statistik Kebangsaan.
Kerajaan pada Oktober menjangkakan inflasi kekal antara 2 ke 3 peratus bagi 2017.
Sementara itu Penganalisis Kanan Tukaran Asing Oanda Stephen Innes berkata inflasi yang tinggi adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan memandangkan harga minyak kian pulih dan ringgit melemah.
“Ringgit dijangka meneruskan kelemahan, namun saya tidak jangka ia akan berlakua secara besar besaran, ia lebih secara berperingkat kerana BNM mempunyai langkah kawalan yang baik.
“Saya tidak rasa ringgit akan melepasi paras RM4.60 jika Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah bulan ini.’ Katanya sambil menambah pelabur masih berminat dengan pasaran serantau sekaligus bakal menyokong nilai mata wang.