Ringgit lebih kukuh kerana keyakinan pelabur terhadap agenda pembaharuan kerajaan
Ridauddin Daud
Oktober 16, 2024 12:40 MYT
Oktober 16, 2024 12:40 MYT
KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia menunjukkan prestasi lebih kukuh berbanding matawang serantau disebabkan keyakinan pelabur terhadap agenda pembaharuan kerajaan.
Bercakap di Dewan Rakyat pada Rabu, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mewakili Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pergerakan nilai ringgit pada tahun ini juga didorong oleh perkembangan dalam pasaran global.
Selain itu, katanya, prestasi ekonomi domestik yang kukuh juga menyumbang kepada kenaikan nilai matawang ringgit.
“Pendekatan kerajaan meyakinkan kerana mengambil pendekatan pertamanya, menetapkan hala tuju jelas melalui kerangka Ekonomi MADANI.
“Keduanya, menyusuli dengan pelaksanaan pembaharuan dasar termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta penyasaran subsidi elektrik, air dan diesel.
“Kerangka Ekonomi MADANI juga disokong melalui kertas dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Dasar itu menetapkan strategi dan fokus pelaburan negara untuk menyokong peralihan ekonomi negara supaya lebih makmur, mampan dan terangkum,” katanya.
Selain itu, katanya, pelaburan diluluskan, perdagangan dan indeks pengeluaran perindustrian menunjukkan prestasi lebih kukuh serta sistem kewangan yang teguh turut menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit.
Tambah beliau, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengambil tindakan terselaras untuk menggalakkan pendapatan pelaburan asing dibawa balik dan ditukarkan kepada ringgit oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat.
Jelasnya, langkah itu membantu mewujudkan aliran dua hala yang lebih rancak dalam pasaran pertukaran asing domestik seterusnya membantu mengukuhkan nilai ringgit.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan Chong Zhemin (PH - Kampar) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan faktor-faktor nilai ringgit melonjak naik sejak kebelakangan ini.