Ringgit kukuh berbanding dolar AS, capai paras 4.66

Bernama
Julai 25, 2024 12:27 MYT
Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.6600/6625 berbanding dolar AS daripada 4.6705/6735 semasa ditutup pada Rabu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ringgit terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong minat belian dalam keadaan jangkaan penurunan kadar faedah oleh ekonomi utama.
Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.6600/6625 berbanding dolar AS daripada 4.6705/6735 semasa ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jangkaan penurunan kadar faedah oleh ekonomi utama telah mewujudkan permintaan yang lebih baik terhadap ringgit memandangkan perbezaan kadar faedah negatif, dengan bank pusat utama dijangka berkurangan.
Beliau berkata pada minggu ini, Bank of Canada mengurangkan faedah sebanyak 25 mata asas manakala People's Bank of China turut mengumumkan penurunan kadar yang mengejutkan sebanyak 20 mata asas terhadap kemudahan pinjaman jangka sederhana untuk setahun, hari ini.
"Cabaran seterusnya adalah mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS minggu depan.
"September dilihat akan menjadi tempoh masa untuk Rizab Persekutuan (Fed) AS mula mengurangkan Kadar Dana Fed," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 6.0039/0072 daripada 6.0291/0330 semasa ditutup pada Rabu dan naik berbanding euro kepada 5.0570/0597 daripada 5.0633/0665 semalam,tetapi rendah berbanding yen Jepun kepada 3.0598/0616 daripada 3.0173/0196 sebelumnya.
Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding mata wang Asean apabila meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 286.7/287.0 daripada 287.9/288.3 semalam,dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.4714/4735 daripada 3.4727/4752 sebelum ini.
Ringgit turut naik berbanding baht Thailand kepada 12.8875/9005 daripada 12.9133/9266 semasa ditutup pada Rabu dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.95/7.96 daripada 7.99/8.00 sebelumnya.
-- BERNAMA
#dolar AS #ASEAN #fbm klci #tempoh masa