Ringgit kembali meningkat, dibuka tinggi berbanding dolar AS

Bernama
Oktober 24, 2023 12:00 MYT
Pada 9 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.7840/7890 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ini, melantun semula selepas terjejas disebabkan oleh sentimen penghindaran risiko berikutan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Pada 9 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.7840/7890 berbanding dolar AS daripada 4.7900/7975 pada penutup Isnin.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dari sudut teknikal, mata wang domestik menyaksikan permintaan sederhana selepas berada dalam kedudukan yang sangat terlebih jual .
"Ringgit kini berlegar pada paras terendah 25 tahun selepas susut kepada 4.7900/7975 semalam, sekali gus membuka lebih banyak peluang dagangan," katanya kepada Bernama.
Selain itu, harga minyak yang lebih tinggi turut mempengaruhi prestasi positif ringgit berbanding dolar AS hari ini.
Pada awal dagangan, ringgit bagaimanapun susut berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan menyusut berbanding euro kepada 5.1055/1108 daripada 5.0736/0815 pada penutup pada Isnin, lemah berbanding pound Britain menjadi 5.8628/8689 daripada 5.8179/8270 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1959/1995 daripada 3.1935/1985 sebelumnya.
Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang Asia yang lain.
Nilai ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 300.2/300.6 daripada 300.5/301.2 pada penutup Isnin dan meningkat berbanding peso Filipina untuk mencatatkan paras 8.42/8.45 daripada 8.43/8.44 sebelum ini.
Sebaliknya, ia susut berbanding baht Thailand kepada 13.2005/2183 daripada 13.1104/1359 semalam dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.5007/5046 daripada 3.4731/4767.
-- BERNAMA
#ringgit #dolar AS #dagangan #mata wang asing
;