Ringgit kekal disokong dengan baik berikutan pasaran tunggu ucapan Pengerusi Fed

Bernama
Ogos 23, 2024 20:35 MYT
Pada pukul 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.3720/3775 berbanding dolar AS daripada 4.3760/3800 ketika ditutup pada Khamis. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ringgit kekal disokong dengan baik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila menutup minggu dagangan ini di paras 4.37 pada Jumaat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peserta pasaran menunggu ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell di Simposium Jackson Hole malam ini untuk lebih pengesahan mengenai kemungkinan penurunan kadar faedah bulan depan.
Pada pukul 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.3720/3775 berbanding dolar AS daripada 4.3760/3800 ketika ditutup pada Khamis.
Beliau berkata ringgit terus meningkat dan dalam pada itu, mata wang tempatan juga lebih stabil berbanding beberapa mata wang utama lain termasuk euro, pound British dan dolar Singapura.
Pasaran juga bersedia bagi ucapan Powell malam ini, katanya.
"Ini memerlukan peserta pasaran menjadi lebih teliti, memandangkan jika ucapan itu ternyata tidak menarik, ada kemungkinan dolar AS meningkat semula. Situasi ini perlu dihadapi dengan berhati-hati kerana ringgit telah meningkat sebanyak 0.17 peratus berasaskan minggu ke minggu," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata pasangan dolar AS/ringgit telah melepasi paras rintangan serta-merta RM4.4005 pada Isnin, dan sejak itu, ia telah berlegar sekitar julat RM4.3700 hingga RM4.3800.
"Paras rintangan semasa adalah pada RM4.3000, dan berdasarkan data ekonomi yang positif untuk Malaysia, pasangan mata wang itu dijangkakan bergerak menuju ke arah itu," katanya.
Pada penutupan dagangan, ringgit lebih kukuh berbanding beberapa mata wang utama.
Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9914/9956 daripada 3.0051/0082 ketika ditutup pada Khamis, dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.8604/8665 daripada 4.8744/8789.
Ringgit naik berbanding pound British kepada 5.7391/7463 daripada 5.7431/7483 semalam.
Pada masa yang sama, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3410/3454 daripada 3.3474/3507 ketika ditutup semalam, dan lebih stabil berbanding peso Filipina kepada 7.75/7.76 daripada 7.76/7.78.
Bagaimanapun, ringgit turun berbanding rupiah Indonesia kepada 282.1/282.7 daripada 280.4/280.9 pada Khamis, dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.7575/7810 daripada 12.7383/7552.
-- BERNAMA
#ringgit #kekal #dolar AS #Pengerusi Fed