Ringgit kekal dibuka tinggi berbanding dolar AS

Bernama
Julai 12, 2024 11:55 MYT
Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6690/6740 berbanding dolar AS daripada 4.6855/6895 ketika ditutup pada Khamis. - Gambar hiasan/Reuters
KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan kenaikan untuk dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, didorong prospek yang semakin meningkat bagi penurunan kadar faedah dalam keadaan data inflasi AS yang lebih rendah, kata penganalisis.
Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6690/6740 berbanding dolar AS daripada 4.6855/6895 ketika ditutup pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata AS mencatatkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras yang lebih rendah daripada jangkaan, masing-masing pada 3.0 peratus dan 3.3 peratus pada Jun, berbanding jangkaan konsensus pada 3.1 peratus dan 3.4 peratus.
"Justeru, data itu mengukuhkan lagi jangkaan bagi penurunan kadar faedah di AS, yang mungkin dilaksanakan seawal September.
"Seterusnya, Indeks Dolar AS (DXY) susut sebanyak 0.58 peratus kepada 104.44 mata kerana prospek penurunan kadar telah memperoleh momentum," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ringgit berada di landasan untuk kenaikan seterusnya walaupun sederhana hari ini.
Mohd Afzanizam berkata keputusan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus menyokong ringgit, memandangkan tindakan itu mengurangkan perbezaan kadar faedah dengan Kadar Dana Persekutuan AS.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Unit domestik rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9343/9378 daripada 2.9003/9030 ketika ditutup pada Khamis namun, tinggi berbanding euro kepada 5.0752/0806 daripada 5.0819/0862.
Mata wang tempatan meningkat berbanding pound British kepada 6.0285/0375 daripada 6.0335/0387.
Ringgit juga diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean.
Mata wang domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4755/4795 daripada 3.4774/4807 ketika ditutup semalam, dan kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 288.2/288.7 daripada 289.2/289.7.
Ringgit stabil berbanding peso Filipina kepada 8.01/8.03 daripada 8.03/8.05 ketika ditutup pada Khamis namun, rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9199/9391 daripada 12.9184/9341.
-- BERNAMA
#ringgit #dolar AS #dibuka tinggi #kadar faedah semalaman