Ringgit kekal berdaya tahan meskipun dolar AS mengukuh

Bernama
April 17, 2024 23:11 MYT
Williams berkata penyusutan ringgit tidak mencerminkan asas ekonomi negara kerana nilai semasa unit domestik itu amat dipengaruhi oleh faktor luaran. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit kekal berdaya tahan di sebalik pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dengan Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka mengekalkan kadar faedah tinggi bagi tempoh yang lebih panjang.
Pakar Ekonomi Geoffrey Williams berkata, semua mata wang sedang bergelut dengan penurunan berbanding mata wang dolar AS di peringkat global, dan ringgit lebih berdaya tahan buat masa ini memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) menguruskan pasaran dengan berkesan.
Malaysia menyelaraskan semua sumber yang diperlukan untuk menyokong mata wang tempatan dengan BNM menjelaskan pihaknya bersedia untuk menggunakan instrumen yang ada bagi memastikan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur dan terus berfungsi secara cekap.
Williams berkata usaha terselaras yang dilaksanakan secara berterusan untuk menggalakkan aliran masuk yang lebih konsisten oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta libat urus yang lebih meluas dengan syarikat korporat dan perniagaan di Malaysia telah memberikan kesan positif dan dianggap mampan.
"Aliran masuk daripada usaha terselaras itu telah membantu menstabilkan ringgit," katanya kepada Bernama.
Ringgit bergerak pada 4.79 berbanding dolar AS buat masa ini.
Pada Rabu, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS susulan pemulihan teknikal selepas tiga hari mengalami penurunan.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.7910/7950 berbanding dolar AS daripada 4.7945/7970 ketika ditutup pada Selasa.
Menurut data Bloomberg sejak 26 Feb, 2024, apabila usaha terselaras oleh kerajaan mula dilaksanakan, ringgit hanya turun 0.38 peratus berbanding dolar AS.
Secara perbandingan rupiah Indonesia susut 0.70 peratus berbanding dolar AS; baht Thailand kurang 1.35 peratus; dolar Singapura merosot 1.60 peratus; peso Filipina menguncup 1.90 peratus; yuan China turun 0.57 peratus; yen Jepun susut 2.72 peratus; won Taiwan menguncup 2.88 peratus manakala won Korea Selatan merosot 4.56 peratus.
Williams berkata penyusutan ringgit tidak mencerminkan asas ekonomi negara kerana nilai semasa unit domestik itu amat dipengaruhi oleh faktor luaran.
"Nilai semasa ringgit mempunyai kaitan dengan faktor global, termasuk isu geopolitik di Timur Tengah yang meningkatkan risiko selain petunjuk dari Fed bahawa kadar faedah akan kekal tinggi bagi tempoh lebih lama.
"Ini mendorong wang keluar daripada pasaran seperti Malaysia ke tempat dengan pulangan lebih tinggi seperti AS," katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata walaupun rendah namun ringgit muncul sebagai mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik dalam kalangan mata wang negara Asean.
"Asas ekonomi kita kekal kukuh dan berdaya tahan. Kita masih mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif bagi tempoh sukuan manakala akaun semasa dan imbangan perdagangan juga baik," katanya.
Ahmed Razman berkata pasaran pertukaran mata wang asing dijangka kekal mengalami turun naik ketara sepanjang suku kedua tahun ini memandangkan tiada petanda krisis Timur Tengah akan reda dalam tempoh terdekat, ditambah dengan kemungkinan Fed meneruskan kadar faedah tinggi ketika ini.
Justeru, prestasi ringgit akan kekal tidak menentu buat masa ini, katanya.
Beliau berkata tindakan jangka masa panjang perlu dilaksanakan untuk memastikan kestabilan mata wang tempatan berterusan.
"Kerajaan Malaysia mungkin mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan kesan risiko geopolitik yang berpotensi, seperti mempelbagaikan sumber tenaga, mengukuhkan hubungan diplomatik untuk memastikan kestabilan di rantau ini, dan memantau rapat perkembangan pasaran.
"Malaysia boleh bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk memantau dan menguruskan risiko, memastikan kestabilan pasaran, dan menggalakkan daya tahan ekonomi," katanya.
-- BERNAMA
#ringgit #dolar AS #Rizab Persekutuan AS #kadar faedah #Geoffrey Williams
;