Ringgit diunjur terus mengukuh, pelabur asing kembali pada November - Kenanga

Bernama
Disember 8, 2023 14:00 MYT
Ringgit dijangka terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada bulan ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada bulan ini berikutan penyusutan bermusim mata wang negara maju itu dan menjelang jangkaan penurunan kadar inflasi yang berterusan, kata Kenanga Research.
Cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank Bhd itu berkata prestasi makro AS yang kurang memberangsangkan dan berlanjutan, turut menyumbang kepada naratif kecenderungan Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk menurunkan kadar faedah.
Malah, ini berkemungkinan besar akan terus menjejaskan indeks AS dan menyokong pengukuhan mata wang tempatan.
"Bagi kemajuan masa depan, sebarang anjakan dalam peruntukan portfolio ke arah pasaran negara sedang pesat membangun, berserta jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman pada tiga peratus untuk sekurang-kurangnya 12 bulan akan datang, berkemungkinan menyokong trajektori kenaikan ringgit dengan potensi untuk mencecah paras 4.25 menjelang akhir 2024," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
Menurut Kenanga, selepas mencatat penurunan selama tiga bulan berturut-turut, rizab antarabangsa bank pusat juga pulih kepada US$3.8 bilion atau 3.5 peratus bulan ke bulan dan mencecah paras tertinggi US$112.3 bilion setakat 30 Nov, 2023 (US$1=RM4.67).
Ringgit turut mengukuh berbanding dolar AS dalam persekitaran jangkaan ketara Fed, disebabkan oleh keadaan tenaga kerjanya yang lemah, mengurangkan tekanan inflasi serta ketidaktentuan dalam pasaran perumahan.
Selain itu, Kenanga berkata peningkatan ringgit juga disumbangkan oleh bacaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2023 yang lebih baik daripada jangkaan dengan komitmen berterusan kerajaan ke arah konsolidasi fiskal dan penyusutan perbezaan hasil bon kerajaan RM-AS selama 10 tahun.
Di pasaran bon pula menyaksikan kehadiran semula pelabur asing pada November, didorong oleh pemulihan minat terhadap risiko.
"Untuk pertama kalinya dalam tempoh empat bulan, pelabur asing berperanan sebagai pembeli bersih sekuriti hutang Malaysia pada bulan lepas (RM5.4 bilion; Oktober : -RM2.6 bilion).
-- BERNAMA
#prestasi ringgit #nilai RM #dolar AS #2023
;