Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS disokong penurunan inflasi
Bernama
Januari 22, 2025 21:30 MYT
Januari 22, 2025 21:30 MYT
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong oleh data yang menunjukkan penurunan kadar inflasi Malaysia, kata ahli ekonomi.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi Malaysia bagi Disember 2024 turun kepada 1.7 peratus, berbanding kadar tahunan 1.8 peratus bagi 2024.
Pada pukul 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.4340/4400 berbanding dolar AS daripada 4.4730/4780 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata di peringkat domestik, inflasi yang rendah pada 1.7 peratus bagi Disember 2024 dan 1.8 peratus bagi keseluruhan 2024, menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang dengan baik.
"Ekonomi mampu berkembang melebihi lima peratus pada 2024 manakala kadar inflasi kekal terkawal. Oleh itu, secara asasnya, ekonomi Malaysia berada dalam keadaan baik, dan dijangka menarik dana asing untuk datang dan melabur di Malaysia," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ketidaktentuan luaran yang tinggi mungkin telah mengekang minat risiko pelabur asing terhadap Malaysia buat masa ini.
Mohd Afzanizam berkata isu yang berkaitan dengan dasar Presiden AS Donald Trump terus mempengaruhi sentimen pasaran.
"Nampaknya kemungkinan pengenaan tarif import ke atas China dijangka lebih ringan, dan pentadbiran semasa AS berhati-hati untuk menggunakan tarif sebagai satu instrumen dasar secara terburu-buru," katanya.
Ketika ditutup, ringgit dilihat diniagakan lebih rendah kebanyakannya berbanding mata wang utama.
Mata wang tempatan naik sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.8480/8522 daripada 2.8691/8725 ketika ditutup pada Selasa namun, ringgit susut berbanding euro kepada 4.6313/6376 daripada 4.6291/6343.
Ringgit juga rendah berbanding pound British kepada 5.4822/4896 daripada 5.4781/4842.
Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.
Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 272.3/272.8 daripada 273.6/274.1 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.58/7.59 daripada 7.65/7.66.
Unit domestik diniagakan lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 13.1106/1345 daripada 13.1123/1347 pada Selasa, dan lebih stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.2781/2828 daripada 3.2899/2941.
-- BERNAMA