Ringgit ditutup sedikit rendah selepas cecah paras tertinggi baharu dalam enam bulan

Bernama
Julai 18, 2024 13:18 MYT
Ringgit yang dibuka pada 4.6640, diniagakan di antara 4.6590 dengan 4.6685 sepanjang hari ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup sedikit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan pengambilan untung sederhana selepas mata wang tempatan mencecah paras tertinggi baharu dalam tempoh enam bulan semasa awal dagangan hari ini.
Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.6680/4710 berbanding dolar AS daripada 4.6625/6660 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit stabil hari ini selepas berada dalam aliran meningkat, naik satu peratus berbanding dolar AS sejak awal bulan ini.
"Perkara lazim bagi mata wang domestik untuk kekal pada paras semasa selepas meningkat ketara berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.
Ringgit telah mencecah paras tertinggi baharu dalam tempoh enam bulan setiap hari sejak Jumaat minggu lepas.
Mohd Afzanizam berkata laporan terbaru oleh institusi asing terus menyokong trajektori ringgit yang positif.
Fitch Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan prospek 'stabil', disokong oleh ekonomi yang pelbagai dan asas eksport.
JP Morgan juga menyemak naik penarafan Malaysia kepada 'neutral' daripada 'underweight' selepas hampir enam tahun, mengiktiraf pembaharuan dasar negara, pelaburan pusat data dan pembinaan infrastruktur.
Ringgit yang dibuka pada 4.6640, diniagakan di antara 4.6590 dengan 4.6685 sepanjang hari ini.
Unit domestik didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 2.9827/9849 daripada 2.9809/9834 ketika ditutup pada Rabu, dan tinggi berbanding pound British kepada 6.0628/0667 daripada 6.0813/0859.
Mata wang tempatan turut meningkat berbanding euro kepada 5.1021/1054 daripada 5.1022/1060 semalam.
Ringgit didagangkan kukuh kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean.
Unit tempatan lebih kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4807/4832 daripada 3.4810/4839 ketika ditutup semalam dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 288.9/289.2 daripada 289.5/289.9.
Ringgit tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.9750/9887 daripada 12.9918/13.0070 semalam namun, susut berbanding peso Filipina kepada 8.01/8.02 daripada 7.99/8.00.
-- BERNAMA
#pusat data #pelaburan #dolar AS #ASEAN