Ringgit ditutup rendah menjelang keputusan kadar faedah AS minggu ini
Bernama
Januari 29, 2024 20:23 MYT
Januari 29, 2024 20:23 MYT
KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Isnin berikutan sentimen berhati-hati menjelang keputusan mengenai kadar faedah utama negara maju berkenaan pada minggu ini.
Pada 6 petang, ringgit turun ke paras 4.7310/7360 berbanding dolar AS daripada 4.7275/7325 pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit diniagakan dalam julat kecil hari ini apabila pasaran mengalihkan tumpuan ke atas Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) yang bermesyuarat pada 30-31 Jan, 2024.
"Seiring dengan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS bagi suku keempat 2023 yang lebih baik daripada dijangkakan baru-baru ini, pihak Rizab Persekutuan (Fed) berkemungkinan besar mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat.
"Ini hanya menjadikan dolar AS mendapat sokongan baik dan sebaliknya menyebabkan urus niaga ringgit dalam julat yang kecil," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama kecuali yen yang menyaksikannya turun ke paras 3.2020/2056 daripada 3.1988/2024 pada akhir Jumaat lepas.
Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 6.0093/0157 daripada 6.0120/0183 dan naik berbanding euro kepada 5.1204/1258 daripada 5.1279/1333.
Pada masa sama, ringgit sebaliknya diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang Asean.
Unit tempatan itu hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.5269/5309 berbanding 3.5267/5307 pada Jumaat lepas dan rendah berbanding baht Thailand pada 13.2949/3153 daripada 13.2679/2879, sebelum ini.
Ringgit juga susut nilai berbanding rupiah Indonesia pada 299.1/299.7 daripada 298.7/299.1 minggu lepas dan rendah berbanding peso Filipina pada 8.40/8.42 daripada 8.39/8.41, sebelumnya.
-- BERNAMA