Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS
Bernama
Oktober 29, 2024 20:50 MYT
Oktober 29, 2024 20:50 MYT
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS untuk hari kedua berturut-turut dalam persekitaran selera risiko terhadap mata wang tempatan yang mereda menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) minggu depan, kata seorang penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu turun kepada 4.3760/3810 berbanding dolar AS 4.3605/3640 ketika ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pilihan raya presiden AS merupakan risiko utama yang mungkin mempengaruhi ekonomi global, terutamanya yang berkaitan dengan perdagangan antarabangsa dan geopolitik.
"Pertembungan sengit antara kedua-dua calon membawa kepada ketidaktentuan yang memuncak, mengakibatkan peniaga dan pelabur mencari perlindungan dalam mata wang selamat, iaitu dolar AS," katanya kepada Bernama.
Pada penutup, ringgit kebanyakannya ditutup rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8516/8550 daripada 2.8521/8545 ketika ditutup pada Isnin, merosot berbanding pound Britain kepada 5.6805/6870 daripada 5.6564/6610 semalam dan susut berbanding euro kepada 4.7344/7398 daripada 4.7159/7197 sebelum ini.
Sementara itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ia kukuh sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 277.4/277.9 berbanding 277.2/277.6 pada penutup semalam.
Bagaimanapun, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3044/3084 daripada 3.2979/3008 ketika ditutup pada Isnin, turun berbanding peso Filipina kepada 7.51/7.52 daripada 7.48/7.49 semalam dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.92584/9746 daripada 12.8780/8933.
-- BERNAMA