Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS
Bernama
Ogos 17, 2021 21:17 MYT
Ogos 17, 2021 21:17 MYT
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini kerana para pelabur kekal bersikap bersikap berhati-hati berikutan ketidaktentuan dalam perkembangan politik di Malaysia, kata seorang peniaga.
Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.2370/2380 berbanding dolar AS ketika ditutup 4.2350/2390 pada Isnin.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim memberitahu Bernama bahawa ringgit merosot berbanding dolar AS hari ini kerana para pelabur menunggu keputusan mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri Malaysia yang seterusnya.
Ringgit yang lemah juga dipengaruhi oleh penurunan harga minyak mentah Brent, kata Adam.
"Jangkaan bahawa negara pengeluar utama tidak akan meningkatkan penawaran dalam waktu terdekat ini adalah faktor yang lebih penting daripada kebimbangan terhadap permintaan yang perlahan dalam persekitaran peningkatan kes jangkitan varian Delta COVID-19," katanya.
Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent turun 0.32 peratus kepada AS$69.29 setong.
Sementara itu, Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata ekonomi dan ringgit Malaysia mungkin sukar untuk kembali kukuh dalam beberapa bulan akan.
"Minggu ini, pelabur akan menumpukan perhatian terhadap Indeks Harga Pengguna Malaysia, ia dapat memberikan gambaran penting mengenai keadaan ekonomi dan inflasi negara," katanya.
Pada penutupan pasaran, unit tempatan kebanyakannya diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.
Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1182/1192 daripada 3.1227/1259 ketika ditutup pada Isnin dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.8462/8476 daripada 5.8680/8736 dan mengukuh berbanding euro pada 4.9874/9885 daripada 4.9893/9940.
Bagaimanapun, unit tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.8768/8778 daripada 3.8732/8769 sebelumnya.
-- BERNAMA