Ringgit ditutup mendatar berbanding dolar AS susulan sentimen berhati-hati

Bernama
Februari 12, 2025 22:00 MYT
Pada 6 petang, ringgit berada pada paras 4.4680/4725 berbanding dolar AS daripada 4.4680/4730 semasa ditutup pada Isnin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan sentimen berhati-hati terhadap unjuran ekonomi semasa.
Pada 6 petang, ringgit berada pada paras 4.4680/4725 berbanding dolar AS daripada 4.4680/4730 semasa ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peserta pasaran masih bimbang mengenai ketidakpastian dasar di bawah Presiden AS Donald Trump.
"Peserta pasaran mata wang masih bimbang dengan dasar Trump 2.0 dan bagaimana Rizab Persekutuan (Fed) AS akan memberikan reaksi mengenai dasar itu," katanya kepada Bernama.
Dalam laporan dasar monetari setengah tahunan kepada kongres, Pengerusi Fed Jerome Powell memberi isyarat bahawa bank pusat tidak akan tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah dan menunggu sehingga suku berikutnya sebelum sekali lagi menurunkan kadar faedah.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9106/9137 daripada 2.9352/9387 semasa ditutup pada Isnin, tetapi merosot berbanding euro kepada 4.6351/6398 daripada 4.6128/6179 sebelum ini dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.5613/5669 daripada 5.5430/5492.
Mata wang tempatan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 272.7/273.2 daripada 273.1/273.5 semasa ditutup pada Isnin, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.68/7.69 daripada 7.69/7.70 sebelum ini dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.0953/1151 daripada 13.1768/1986.
Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3028/3064 daripada 3.3006/3048 pada Isnin.
-- BERNAMA
#ASEAN #Donald Trump #rizab persekutuan #mata wang
;