Ringgit ditutup mendatar berbanding dolar AS ekoran kekurangan pemangkin
Bernama
Ogos 22, 2023 20:55 MYT
Ogos 22, 2023 20:55 MYT
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari kedua berturut-turut pada Selasa, berikutan kekurangan pemangkin baharu, kata penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan kekal tidak berubah pada 4.6465/6495 berbanding dolar daripada 4.6465/6510 ketika ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit bergerak di antara RM4.6453 dengan RM4.6518 memandangkan pasaran mencari hala tuju lebih jelas mengenai kadar faedah AS.
"Setakat ini, hasil Perbendaharaan AS berjangka 10 tahun, yang berlegar pada kira-kira 4.31 peratus, kekal pada kadar yang tinggi.
"Ini akan membayangkan premium inflasi yang boleh mendorong bank-bank pusat mengekalkan kewaspadaan mereka terhadap matlamat kestabilan harga," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell dijangka menyampaikan ucapan pada 25 Ogos dan pelabur akan mencari sebarang petunjuk berhubung kemungkinan perubahan dalam pendiriannya.
"Nampaknya Fed berkemungkinan mengekalkan kadar faedah tinggi, yang akan menjadi perkara positif bagi dolar," katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.1919/1942 daripada 3.1869/1902 ketika ditutup pada Isnin, serta turun berbanding euro kepada 5.0689/0721 daripada 5.0647/0696.
Ringgit juga rendah berbanding pound British kepada 5.9406/9444 daripada 5.9196/9254 semalam.
Unit domestik turut diniagakan rendah berbanding mata wang negara Asean.
Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.4312/4336 daripada 3.4241/4279 ketika ditutup pada Isnin, dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 303.3/303.6 daripada 303.1/303.6 semalam.
Ringgit kurang stabil berbanding baht Thailand kepada 13.2928/3079 daripada 13.2070/2258 namun, kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.24/8.25.
-- BERNAMA