Ringgit ditutup hampir pada paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan

Bernama
Julai 30, 2024 11:58 MYT
Jerome Powell juga menyatakan bahawa penurunan kadar boleh berlaku dan tidak perlu menunggu inflasi berada di bawah sasaran 2.0 peratus. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi hari ini meneruskan aliran meningkatnya bagi tujuh hari dagangan berturut-turut susulan keyakinan positif Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedahnya tidak lama lagi, kata seorang penganalisis.
Pada 6 petang, Ringgit melonjak hampir ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan pada 4.6200/6235 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6350/6375 pada Isnin.
Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed AS) Jerome Powell juga menyatakan bahawa penurunan kadar boleh berlaku dan tidak perlu menunggu inflasi berada di bawah sasaran 2.0 peratus.
Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Rizab Persekutuan AS yang berlangsung selama dua hari pada akhir Julai akan menentukan hala tuju kadar faedah pada masa hadapan.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mesyuarat FOMC akan bermula malam ini, dengan konsensus menjangkakan tiada perubahan dalam Kadar Dana Persekutuan.
"Ahli-ahli FOMC dijangka berbincang untuk memulakan usaha pelonggaran monetari bagi menangani jangkaan pasaran.
"Ini penting kerana Fed juga ingin meyakinkan pasaran bahawa ekonomi bersedia untuk berdepan dengan pertumbuhan perlahan," katanya kepada Bernama.
Justeru, mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit dijangka mendapat sokongan susulan kemungkinan peralihan tumpuan Fed untuk mengekalkan pertumbuhan memandangkan trend disinflasi yang berterusan.
Sementara itu, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain dan mata wang negara-negara ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9427/9472 daripada paras penutup 5.9472/9504 pada Isnin, naik berbanding euro kepada 5.0044/0082 daripada 5.0225/0252 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9845/9870 daripada 3.0158/0176.
Berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain, ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 283.3/283.7 daripada 284.6/284.9 pada Isnin dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4370/4398 daripada 3.4499/4521.
Unit tempatan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.87/7.89 daripada 7.92/7.93 dan menambah berbanding baht Thai kepada 12.8319/8470 daripada 12.8947/9063 sebelumnya.
-- BERNAMA
#Rizab Persekutuan AS #Fed AS #jangkaan pasaran #mata wang utama