Ringgit ditutup hampir mendatar berbanding dolar AS

Bernama
September 8, 2023 12:03 MYT
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu berada pada paras 4.6745/6795 berbanding dolar AS daripada 4.6755/6795 pada penutup semalam. - Gambar hiasan/REUTERS
KUALA LUMPUR: Ringgit menyaksikan sedikit perubahan berbanding dolar AS ketika ditutup hari ini kerana pelabur kekal di luar pasaran memandangkan kurangnya pemangkin baharu.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu berada pada paras 4.6745/6795 berbanding dolar AS daripada 4.6755/6795 pada penutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit berkemungkinan kekal lemah berbanding dolar AS kerana Rizab Persekutuan mungkin akan mengekalkan pendirian yang agresif terhadap kadar faedah.
Dari sudut teknikal pula, beliau menyatakan mata wang tempatan berada dalam keadaan terlebih jual, menunjukkan bahawa risiko ringgit untuk terus menurun adalah terhad.
"Tambahan pula harga minyak mentah yang lebih tinggi nampaknya menunjukkan inflasi mungkin mengambil sedikit masa untuk surut ke arah sasaran dua peratus, yang memerlukan pengekalan kadar faedah yang tinggi sebagai penanda aras," katanya kepada Bernama.
Pada penutup urus niaga, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding euro, yang mana ia meningkat kepada 5.0031/0085 daripada 5.0093/0136 pada penutup Khamis.
Sementara itu, ia jatuh berbanding pound Britain kepada 5.8352/8414 daripada 5.8289/8339 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.1741/1777 daripada 3.1707/1736 sebelumnya.
Pada masa yang sama, mata wang tempatan itu juga diniagakan rendah berbanding mata wang Asean yang lain.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4277/4312 daripada 3.4270/4305 pada penutup semalam dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.1591/1787 daripada 13.1301/1469 dan lebih rendah berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.26 daripada 8.23/8.24.
Unit tempatan itu, bagaimanapun meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 304.9/305.4 daripada 305.0/305.4.
-- BERNAMA
#ringgit #ditutup mendatar #dolar AS #mata wang tempatan