Ringgit dijangka tidak banyak berubah minggu ini
Astro Awani
Mei 24, 2020 07:00 MYT
Mei 24, 2020 07:00 MYT
Ringgit dijangka diniagakan tidak banyak berubah minggu ini.
Ini mengekori prestasi mata wang negara pesat membangun berikutan ketegangan di antara Washington dengan Beijing meningkat seiring dengan kebimbangan terhadap kemelesetan.
Penganalisis berkata faktor itu ditambah dengan kelembapan ekonomi global, krisis kesihatan akibat pandemik COVID-19 serta turun naik harga minyak mentah yang akan memberi tekanan kepada mata wang tempatan.
Tambah penganalisis yang dipetik Bernama, penurunan ketara indeks pelopor bagi Mac 2020 yang terbesar sejak November 1991, akan terus memberi tekanan pada ringgit.
Penganalisis itu berkata, ringgit mungkin mencecah asas 4.40 minggu ini berikutan kebimbangan mengenai kemelesetan dan memuncaknya kemelut perdagangan China-Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, AS telah sedia mengalami kemelesetan yang teruk kerana pengangguran meningkat disebabkan kesan COVID-19 yang turut mendorong krisis gadai janji bertambah.
Pasaran ditutup pada Isnin dan Selasa susulan cuti umum sempena sambutan Aidilfitri yang jatuh pada Ahad.
Dagangan akan disambung semula pada Rabu.
#Aidilfitri
#AS
#Beijing
#ekonomi
#gadai janji
#indeks pelopor
#kemelesetan
#minyak
#prestasi mata wang negara
#ringgit
#Washington