Ringgit dijangka meneruskan pemulihannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan memandangkan sentimen pasaran kini lebih terarah kepada mata wang negara pesat membangun, kata peniaga.

Naib Presiden Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, ringgit diunjur mengukuh dalam jangka sederhana selepas dolar AS menyusut.

"Ringgit perlu menguji paras RM4.30/dolar AS susulan kurangnya jangkaan terhadap kenaikan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) seterusnya pada Jun, dan pada masa sama Bank Negara Malaysia dijangka campur tangan sekiranya ringgit terus lemah, khususnya jika ringgit mencatat aliran kepada paras psikologi RM4.50/dolar AS.

"Setakat ini, Bank Negara Malaysia menunjukkan komitmen mempertahankan ringgit daripada ketidaktentuan kadar tukaran melalui operasi pasaran terbuka," katanya kepada Bernama.

Nazri Khan, yang juga Ketua Penyelidikan Runcit bank itu berkata, mata wang tempatan juga perlu disokong oleh harga minyak mentah yang stabil, dengan minyak mentah Brent kini pada US$51.74 setong selain harga logam mengukuh setelah dolar AS menurun, dengan emas meningkat satu peratus kepada US$1,226 seauns dan tembaga menokok 0.7 peratus kepada US$5,908 satu tan.

Ringgit memulakan fasa pemulihannya minggu ini dengan memanfaatkan ketidaktentuan berikutan prospek kadar faedah AS tahun ini.

Meskipun memutuskan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada Rabu selepas mesyuarat Fed selama dua hari, organisasi itu gagal memberi petunjuk kukuh mengenai unjuran tiga kenaikan kadar pada 2017.

Kebanyakan pelabur mengatakan bahawa tiada peningkatan dalam langkah mengetatkan monetari AS tahun ini.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit bergerak antara 4.4480 dan 4.4340 berbanding dolar AS.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan lebih tinggi pada 4.4340/4370 berbanding dolar AS daripada 4.4490/4540.

Bagaimanapun, nota tempatan turut ditutup rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1638/1682 daripada 3.1384/1424 minggu lepas dan lemah berbanding yen kepada 3.9156/9196 daripada 3.8566/8620.

Mata wang tempatan juga turun kepada 5.4933/4983 daripada 5.4167/4241 dan rendah berbanding euro kepada 4.7767/7818 daripada 4.7217/7275.

-- BERNAMA