Ringgit dijangka stabil separuh kedua 2022

Madiha Abdullah
Jun 7, 2022 17:48 MYT
Ringgit dijangka kembali mengukuh apabila sentimen pasaran global bertambah baik. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: HSBC menjangkakan ringgit akan stabil berbanding dolar Amerika pada separuh kedua 2022 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang 5.5 peratus tahun ini.
Keyakinan itu diluahkan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Pelaburan Asia Tenggara Global Private Banking and Wealth HSBC, James Cheo, yang berkata ringgit akan mengukuh apabila sentimen pasaran global bertambah baik.
"Permulaan separuh pertama tahun ini tidak menentu, dan kami percaya ringgit akan stabil untuk bergerak ke arah 4.28 menjelang akhir tahun apabila sentimen pasaran secara global bertambah baik," katanya semasa sidang media Tinjauan Pelaburan HSBC 2H 2022 secara maya, hari ini.
Cheo berkata ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5 peratus pada suku pertama 2022 ke tahap sebelum pandemik, dan dengan sekatan yang semakin longgar, peranan swasta telah pulih semula dan pelaburan menjadi stabil, walaupun ia membawa kepada pertumbuhan import mengatasi eksport.
Dalam pada itu, Cheo berkata rakyat Malaysia tidak perlu terlalu bimbang tentang pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), namun memahami kebimbangan sebenar lebih tertumpu kepada sama ada negara mampu mengalami pemulihan ekonomi yang kukuh selepas pandemik COVID-19.
"Persoalannya, bagaimana ia akan memberi impak? Adakah ia benar-benar akan mengurangkan penggunaan dalam jangka panjang? Jawapan saya tidak. Ia bergantung kepada kekuatan ekonomi, kenaikan gaji dan prospek jangka panjang keuntungan produktiviti negara, dan saya fikir Malaysia mempunyai pilihan yang baik untuk perkara itu.
"Justeru, rakyat Malaysia tidak perlu terlalu bimbang tentang GST. Apa yang penting ialah pembukaan semula ekonomi adalah kukuh. Saya fikir faktor itu lebih penting daripada cukai pengguna," jelasnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada Ahad (5 Jun) bahawa kerajaan masih mengkaji kemungkinan memperkenalkan semula GST dan belum membuat keputusan.
#HSBC #ringgit kembali stabil #dolar AS #ekonomi malaysia
;