Ringgit dijangka menurun berikutan kekurangan pemangkin minggu hadapan
Bernama
Mei 14, 2022 11:40 MYT
Mei 14, 2022 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kekurangan pemangkin dijangka akan mengheret ringgit untuk diniagakan pada aliran menurun minggu hadapan, kata seorang penganalisis.
Penganalisis itu berkata terdapat pelbagai faktor yang dilihat memberi kesan negatif kepada momentum pemulihan ekonomi.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun terdapat kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dan pengumuman suku pertama 2022 Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik daripada jangkaan, ringgit terus melemah.
"Jelas, peserta pasaran akur dengan langkah Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk mengetatkan cengkaman mereka terhadap dasar monetari.
"Ekuiti global telah terjejas teruk manakala hasil Perbendaharaan AS 10 tahun berada di bawah paras tiga peratus kerana pelabur mencari perlindungan daripada ketidaktentuan," katanya kepada Bernama.
Buat masa sekarang, paras ketahanan ringgit berbanding dolar US berada pada RM4.447 manakala paras sokongan pada RM4.34.
"Petunjuk teknikal menonjolkan bahawa USD/MYR berada di rantau terlebih jual, mencerminkan kemungkinan berlakunya pembetulan.
"Bagaimanapun, kebimbangan terhadap pengetatan monetari yang agresif oleh Fed akan menguasai sentimen pasaran pada minggu yang akan datang," tambahnya.
Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa ekonomi pulih pada suku pertama 2022 dengan pertumbuhan lima peratus berbanding penguncupan 0.5 peratus yang direkodkan semasa suku yang sama tahun lepas, disokong oleh peningkatan dalam permintaan domestik apabila aktiviti ekonomi terus normal dengan pelonggaran langkah-langkah sekatan.
Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata ekonomi domestik dijangka terus bertambah baik tahun ini, dengan pertumbuhan diunjurkan antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus pada 2022, disokong oleh pengukuhan permintaan domestik, pengembangan permintaan luaran yang berterusan dan persekitaran yang lebih positif dalam pasaran buruh.
Katanya lagi, penambatan ringgit tidak akan menjadi kepentingan terbaik Malaysia kerana ia berisiko besar, sementara mengekalkan tambatan akan menjadi dasar yang tidak berbaloi disebabkan sejumlah besar rizab terpaksa diperuntukkan terutamanya dalam dekad yang lalu, dan ini akhirnya akan melemahkan daya tahan luaran Malaysia.
"Langkah ini akan memberi kesan buruk kepada sentimen pelabur, yang akan menjejaskan bukan sahaja pelaburan langsung asing ke Malaysia tetapi juga menyebabkan aliran keluar modal dari Malaysia,'' katanya.
Nor Shamsiah berkata Indeks Volatiliti (VIX) juga terus melonjak sehingga menyebabkan dolar US yang lebih kukuh manakala mata wang di negara lain menyusut berbandingnya.
"Pergerakan dalam ringgit adalah sejajar dengan negara serantau yang lain dan sekali lagi saya ingin menekankan bahawa kadar pertukaran yang fleksibel adalah paling sesuai memandangkan keadaan semasa," katanya.
Dari minggu ke minggu, ringgit adalah lebih rendah berbanding dolar US pada 4.3980/3995 berbanding 4.3650/3680 yang dicatatkan semasa Jumaat, minggu sebelum ini.
Ringgit, bagaimanapun, diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dari Jumaat ke Jumaat.
Ringgit adalah lebih mantap berbanding dolar Singapura kepada 3.1482/1497 daripada 3.1523/1549, menokok berbanding pound British kepada 5.3568/3586 daripada 5.3868/3905 dan naik berbanding euro kepada 4.5625/5640 daripada 4.6138/6170.
Ia bagaimanapun jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.4127/4142 daripada 3.3453/3479 sebelum ini.
-- BERNAMA