Ringgit dijangka kekalkan kenaikan - Johari

Bernama
Mac 23, 2016 18:30 MYT
JOHARI: Dalam tempoh yang singkat, ia mampu pulih, oleh itu kita berharap ia akan kekal untuk jangka yang panjang. -Gambar fail
Ringgit yang mencecah 3.99 berbanding dolar US hari ini dijangka kekal pada paras sekarang untuk jangka panjang dan mengekalkan momentum meningkat, disokong oleh pelbagai inisiatif ekonomi yang berterusan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, inisiatif itu termasuk mengukuhkan asas ekonomi negara dan mewujudkan keyakinan di kalangan pelabur asing.
"Paras 3.99 adalah tanda yang sangat baik untuk mata wang tempatan selepas terpaksa menghadapi pelbagai cabaran sukar yang menyebabkan ia diniagakan pada 4.40 berbanding dolar US.
"Dalam tempoh yang singkat, ia mampu pulih, oleh itu kita berharap ia akan kekal untuk jangka yang panjang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari Anugerah Kewangan Islam Global di sini, hari ini.
Menurutnya, apabila semua inisiatif terbabit dilaksana, ringgit akan kembali ke paras asalnya.
Dilaporkan yang mata wang tempatan itu menuju kenaikan bulanan terbesar sejak 1998 berikutan spekulasi pelabur menjadi lebih berminat ke atasnya ketika harga minyak global mulai stabil.
Ringgit mengukuh 0.4 peratus kepada 3.9940 berbanding dolar US ketika rehat tengah hari, hari ini.
Ia meningkat 5.2 peratus bulan ini dan mata wang terbaik Asia pada 2016 dengan kenaikan 7.5 peratus.
Ringgit naik melepasi 4.0 berbanding dolar US untuk kali pertama sejak Ogos pada Selasa dan meningkat setinggi 3.9597 hari ini.
Sementara itu, Jawatankuasa Ekonomi Khas telah membentangkan satu laporan merangkumi cadangan dan langkah tambahan melibatkan empat sektor penting, termasuk menstabilkan pasaran kewangan.
Jawatankuasa itu berkata, langkah terbabit telah menyumbang kepada pasaran kewangan yang lebih stabil, dengan ringgit mengukuh 6.5 peratus berbanding dolar US kepada 4.04 semalam berbanding 4.32 pada 1 Januari.
Indeks komposit pasaran saham juga mengukuh ke paras 1,718 manakala rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia setakat 15 Mac berjumlah US$96.1 bilion (RM412.3 billion) dan cukup untuk membiayai 8.4 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar jangka pendek.
#berbanding dolar us #JOHARI ABDUL GHANI #kekal momentum meningkat #mata wang tempatan #ringgit naik
;