Ringgit dijangka hampiri paras 4.40 menjelang akhir tahun - Kenanga IB
Bernama
September 9, 2024 06:15 MYT
September 9, 2024 06:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menjangka ringgit diniagakan hampir pada paras 4.40 menjelang akhir tahun berikutan petanda yang membayangkan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mungkin mengurangkan kadarnya hanya 50-75 mata asas tahun ini.
Kenanga IB berkata, sentimen itu boleh membawa kepada lantunan semula dolar AS pada suku keempat 2024.
"Kami yakin terhadap prestasi ringgit sejak tahun lepas. Kami mengunjurkan ia mencecah 4.25 menjelang akhir 2024, didorong oleh jangkaan pertumbuhan lemah ekonomi AS dan penurunan seterusnya kadar Fed," katanya.
Pengumuman data penting pekerjaan AS pada Jumaat minggu lepas terus mencetuskan ketidakpastian dalam pasaran sama ada Fed akan mengurangkan kadar sebanyak 25 atau 50 mata asas pada September, dengan kebarangkalian ia diturunkan kepada 30.0 peratus.
Sementara itu, Kenanga IB menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan dasar monetari semasanya bagi tempoh 12-15 bulan akan datang, memandangkan inflasi yang lemah dan pertumbuhan kukuh ekonomi negara.
"Bagaimanapun, masih terdapat risiko kenaikan inflasi, yang mungkin timbul akibat daripada perubahan dalam dasar kerajaan dan risiko luaran, terutamanya ketegangan geopolitik.
"Namun, BNM dijangka terus berwaspada dan berada dalam keadaan siap siaga untuk bertindak balas sekiranya perlu," katanya.
Ringgit mencatatkan lonjakan pada Ogos, menjadi mata wang berprestasi terbaik dunia dengan peningkatan mendadak 6.0 peratus, disokong oleh penurunan dolar AS apabila Fed membayangkan kemungkinan menurunkan kadar pada September di tengah-tengah inflasi yang semakin mereda dan pasaran buruh yang melemah.
Unit tempatan terus mendapat rangsangan daripada prospek pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia, dasar monetari stabil, pembaharuan fiksal dan kestabilan politik, kata Kenanga IB. - BERNAMA