KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan rendah berbanding dolar AS pada minggu hadapan berikutan ketidaktentuan siling hutang Amerika Syarikat (AS) yang boleh membantu mengukuhkan dolar AS, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid percaya ringgit akan diniagakan sekitar 4.4600 hingga 4.4700 berikutan paras rintangan pada 4.4872.

Dolar AS mungkin mendapat manfaat daripada statusnya sebagai aset selamat kerana isu siling hutang memberi gambaran bahawa risiko keingkaran pelunasan oleh kerajaan AS telah meningkat, katanya kepada Bernama.

Pelabur cenderung untuk mencari aset selamat seperti dolar AS semasa masalah ekonomi atau kewangan.

Untuk minggu yang baru berakhir, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia mencatatkan pengembangan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023, didorong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pertumbuhan 2023 telah dipacu oleh pengembangan perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelaburan yang berterusan, peningkatan pasaran buruh dan aktiviti pelancongan yang lebih tinggi.

Katanya lagi, data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama yang lebih baik daripada jangkaan menunjukkan ekonomi berkembang pada kadar yang agak memberangsangkan.

"Pada tahap yang agak ketara, trajektori sedemikian adalah sejajar dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini kerana ekonomi telah normal dan BNM kini mempunyai lebih banyak ruang dasar untuk bertindak balas terhadap kejutan masa depan.

"Daripada sudut membina keyakinan, itu positif," katanya.

Secara mingguan, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada 4.4765/4835 daripada 4.4350/4400 yang dicatatkan semasa minggu sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali euro, yang menyaksikan ia meningkat kepada 4.8839/8915 daripada 4.8900/8955 minggu lepas.

Ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.6082/6169 daripada 5.5908/5971 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.3233/3290 daripada 3.3050/3090 sebelum ini.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang lain di Asean.

Ia jatuh berbanding baht Thailand kepada 13.1658/1922 daripada 13.1446/1661 dan adalah lebih rendah berbanding dolar Singapura pada 3.3552/3609 daripada 3.3464/3507 yang disaksikan semasa minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu susut berbanding rupiah Indonesia kepada 303.4/304.1 daripada 302.1/302.6 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.02/8.04 daripada 8.02/8.03 sebelum ini.

-- BERNAMA