Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS, peniaga nantikan Belanjawan 2025

Bernama
Oktober 18, 2024 09:30 MYT
Ringgit diniagakan tinggi sedikit berbanding dolar AS berikutan peniaga menjangka mata wang tempatan akan diniagakan mendatar selain memberi tumpuan kepada sasaran defisit fiskal. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan tinggi sedikit berbanding dolar AS pada sesi pembukaan hari ini berikutan peniaga menjangka mata wang tempatan akan diniagakan mendatar selain memberi tumpuan kepada sasaran defisit fiskal tahun depan walaupun bank-bank global terus melaksanakan pelonggaran dasar monetari.
Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.3050/3250 berbanding dolar AS daripada 4.3075/3105 semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Belanjawan 2025, yang akan dibentangkan di Parlimen hari ini, menjadi agenda utama, dengan peniaga dijangka menumpukan perhatian kepada sasaran defisit fiskal tahun depan.
"Mereka juga akan meneliti langkah-langkah kerajaan yang akan diumumkan untuk mengekalkan kadar pengukuhan fiskal dan pada masa yang sama, terus menyokong ekonomi Malaysia," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, Bank Pusat Eropah dijangka menurunkan kadar dasarnya sebanyak 25 mata asas berikutan inflasi turun di bawah sasaran dua peratus dan sentimen perniagaan yang lemah dalam sektor pembuatan.
Di peringkat global, katanya, Indeks Dolar AS terus mendapat sokongan yang baik dengan Bank Pusat Eropah menurunkan kadar dasar mereka sebanyak 25 mata asas semalam.
"Ini berlaku apabila Rizab Persekutuan AS dilihat tidak begitu berminat untuk melaksanakan pelonggaran dasar monetari yang agresif disebabkan ekonomi AS yang berdaya tahan," katanya.
Pada sesi pembukaan, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding euro kepada 4.6615/6831 daripada 4.6771/6803 semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.8673/8808 daripada 2.8790/8812 pada Khamis.
Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding pound kepada 5.6025/6286 daripada 5.5967/6006.
Ringgit turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2758/2912 daripada 3.2782/2807 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9614/13.0326 daripada 12.9619/9776.
Ia turut dibuka tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 277.5/279.0 daripada 277.7/278. Mata wang tempatan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.44/7.48 daripada 7.44/7.46 - BERNAMA
#ringgit #dolar AS #Belanjawan 2025 #defisit fiskal
;