KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini walaupun terdapat sentimen berhati-hati mengenai pertumbuhan ekonomi China.

Pada 9.04 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.6100/6155 berbanding dolar AS daripada 4.6235/6280 pada penutup Khamis.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka bergerak dalam julat ketat sekitar RM4.62 berikutan petunjuk bercampur-campur minggu ini.

"Di China, People's Bank of China (PBOC) mengambil keputusan untuk mengurangkan repo berbalik tujuh hari sebanyak 10 mata asas kepada 1.90 peratus untuk meningkatkan ekonomi.

"Walaupun kita mengalu-alukan langkah Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk mengekalkan Kadar Dana Fed, pasaran nampaknya berada dalam mod menghindar risiko kerana kebanyakan bank pusat utama masih bertegas dengan kenaikan kadar untuk menurunkan inflasi, manakala China pula bergelut untuk mengekalkan kadar pertumbuhan ekonominya," katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata Majlis Tadbir Bank Pusat Eropah (ECB) menaikkan kadar dasar sebanyak 25 mata asas semalam, menjadikan kadar faedah bagi operasi pembiayaan semula marginal, kemudahan pinjaman marginal dan kemudahan deposit, masing-masing kepada 4.00 peratus, 4.25 peratus dan 3.50 peratus.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.8939/9009 daripada 5.8543/8600 pada Khamis, turun berbanding yen Jepun menjadi 3.2905/2947 daripada 3.2781/2816 semalam dan lemah berbanding euro kepada 5.0461/0521 daripada 5.0151/0200 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean yang lain.

Ringgit menyusut nilai berbanding baht Thai kepada 13.3141/3357 daripada 13.2783/2981 pada Khamis dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4488/4534 berbanding 3.4442/4481 semalam, tetapi lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia pada 308.2/308.7 daripada 309.1/309.6 dan kekal berbanding peso Filipina pada 8.26/8.27.

-- BERNAMA