Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS selepas BNM kekalkan kadar pada 3 peratus

Bernama
September 6, 2024 10:45 MYT
Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.3325/3405 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus, mencerminkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.3325/3405 berbanding dolar AS daripada 4.3360/3400 pada Khamis.
BNM mengekalkan kadar faedah berikutan pendirian dasar monetari semasa terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian bank pusat berhubung prospek inflasi dan pertumbuhan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) terus lemah, merosot kepada 101.070 mata berikutan jangkaan penurunan kadar AS yang ketara meningkat.
"Perubahan Pekerjaan Bukan Ladang ADP mencatatkan angka jauh di bawah jangkaan, merekodkan 99,000 pekerjaan pada Ogos berbanding anggaran konsensus sebanyak 144,000 dan 111,000 pada bulan sebelumnya.
"Ini mengukuhkan hujah untuk penurunan kadar faedah yang lebih besar pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata laporan senarai gaji bukan ladang (NFP) pada malam ini akan dipantau dengan jangkaan sebanyak 164,000 pekerjaan pada Ogos berbanding 114,000 sebelum ini dan kadar pengangguran dijangka turun kepada 4.2 peratus daripada 4.3 peratus.
"Jika dicapai, ini akan menunjukkan trend pasaran buruh yang positif pada Ogos," katanya.
Mohd Afzanizam berpendapat ringgit dijangka diniagakan mendatar berikutan peserta pasaran terus berhati-hati menjelang data NFP dikeluarkan.
Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia merosot berbanding euro kepada 4.8138/8227 daripada 4.8099/8144 pada Khamis, susut berbanding pound kepada 5.7081/7186 daripada 5.7049/7101 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.0213/3.0273 daripada 3.0189/0219.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 281.2/281.9 daripada 281.5/281.9 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.72 daripada 7.71/7.72.
Bagaimanapun, ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3332/3396 daripada 3.3303/3336 dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.8878/9197 daripada 12.8772/8940.
-- BERNAMA
#ringgit #dolar AS #dagangan #mata wang asing
;