KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu merosot, didorong oleh laporan yang membayangkan pelaksanaan tarif secara berperingkat dan data yang menunjukkan penurunan inflasi borong AS yang tidak dijangka, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit diniagakan pada 4.5000/5080 berbanding dolar AS daripada 4.5035/5100 semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata dolar susut daripada paras yang tinggi, merupakan penurunan pertama dalam enam sesi dagangan.

"Satu laporan strategik yang membayangkan pelaksanaan tarif secara berperingkat dan data baharu yang menunjukkan penurunan inflasi borong AS yang tidak dijangka telah menyumbang kepada penyusunan semula kedudukan pelaburan dalam dolar pada paras yang tidak dilihat sejak 2019.

"Oleh itu, dagangan tersebut menjadikan dolar amat sensitif terhadap kejutan ekonomi yang kurang menggalakkan," katanya kepada Bernama.

Pasukan ekonomi bakal Presiden AS Donald Trump dilaporkan sedang mempertimbangkan kenaikan tarif secara berperingkat antara dua peratus dan lima peratus sebulan di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa.

Innes berkata pelabur berhati-hati terhadap laporan inflasi harga pengguna AS yang penting pada Rabu berikutan unjuran menunjukkan kadar inflasi yang membimbangkan sebanyak tiga peratus pada Disember tetapi secara tahunan, ia memberi petunjuk pada kadar yang hampir kepada empat peratus.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit boleh berada pada trajektori semasa pada sekitar RM4.50 hingga RM4.51 sehingga terdapat lebih banyak kejelasan mengenai hala tuju dasar global.

Beliau berkata dolar AS dijangka mengukuh dalam tempoh terdekat berikutan jangkaan pasaran terhadap kadar faedah AS yang beralih daripada penurunan kadar yang lebih rendah kepada tiada perubahan dalam kadar dasar.

"Indeks Dolar AS (DXY) terus menurun kepada 109.273 mata sejak berita mengenai kemungkinan kenaikan tarif AS tersebar pada Isnin.

"Data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS terkini masih menunjukkan kadar inflasi yang tinggi dengan pengeluaran pada Disember menunjukkan IHPR keseluruhan meningkat kepada 3.3 peratus daripada 3.0 peratus pada bulan sebelumnya manakala IHPR teras kekal pada 3.5 peratus untuk bulan kedua berturut-turut selepas meningkat sebanyak 3.4 peratus pada Oktober," katanya.

Mohd Afzanizam berkata ketidaktentuan mengenai pentadbiran yang akan datang di Rumah Putih juga menambah kepada tahap kegelisahan pasaran, menyebabkan minat meningkat terhadap dolar AS.

Sementara itu, ringgit dibuka bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8474/8526 daripada 2.8510/8553 semalam, bagaimanapun merosot berbanding euro kepada 4.6373/6455 daripada 4.6201/6268 dan rendah berbanding pound kepada 5.4941/5038 daripada 5.4839/4918 semalam.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.69 daripada 7.68/7.70 dan tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 276.5/277.2 daripada 276.7/277.3 semalam.

Ia merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9687/13.0003 daripada 12.9500/9739 dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2916/2977 daripada 3.2889/2939 semalam.

-- BERNAMA