Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Bernama
November 15, 2024 11:50 MYT
Pada 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.4810/4885 berbanding dolar AS daripada 4.4840/4870 pada Khamis. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan tinggi berbanding dolar AS pada sesi pembukaan hari ini walaupun Indeks Dolar AS (DXY) mengukuh, kata penganalisis.

Ringkasan AI
  • Pada sesi pembukaan, ringgit berada pada 4.4810/4885 berbanding dolar AS, walaupun Indeks Dolar AS (DXY) mengukuh.
  • Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd menyatakan bahawa kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS pada Disember telah berkurangan, menyebabkan ketidakpastian dalam pasaran.
  • Ringgit merosot berbanding pound dan euro, tetapi meningkat berbanding yen Jepun, peso Filipina, dan rupiah Indonesia.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.4810/4885 berbanding dolar AS daripada 4.4840/4870 pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY kekal di hadapan dengan Rizab Persekutuan (Fed) dijangka tidak menurunkan kadar faedah secara agresif manakala data ekonomi menyokong pandangan bahawa ekonomi AS masih kukuh.
"Kemungkinan untuk penurunan kadar faedah pada Disember telah berkurangan dengan ketara daripada 80 peratus kepada di bawah 60 peratus. Pasaran tidak menentu pada masa ini.
"Oleh itu, ringgit dijangka cenderung untuk bergerak ke arah penurunan bersama dengan mata wang negara utama dan sedang pesat membangun yang lain," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia merosot berbanding pound kepada 5.6761/6856 daripada 5.6750/6787 pada Khamis dan susut berbanding euro kepada 4.7180/7259 daripada 4.7172/7203, bagaimanapun naik berbanding yen Jepun kepada 2.8638/8688 daripada 2.8720/8741 semalam.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.62/7.64 daripada 7.63/7.63 dan tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 282.4/283.0 daripada 282.6/282.9 pada Khamis.
Mata wang tempatan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.8003/8342 daripada 12.7706/7838 semalam dan kekal hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.3284/3344 daripada 3.3284/3309 sebelum ini.
-- BERNAMA
#dolar AS #ringgit #rizab persekutuan #ASEAN
;