KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang terkini mengukuhkan jangkaan kepada penurunan kadar faedah di AS, kata ahli ekonomi.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.3305/3380 berbanding dolar AS daripada 4.3330/3370 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.31 peratus kepada 101.366.

Nota Perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun tidak berubah pada 3.64 peratus berikutan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS mencatatkan lebih rendah daripada jangkaan sebanyak 1.7 peratus berbanding anggaran konsensus sebanyak 1.8 peratus.

Selain itu, tuntutan pengangguran AS lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak 230,000 berbanding konsensus pasaran sebanyak 227,000 berikutan ramai rakyat AS menuntut faedah pengangguran.

"Pasaran dilihat tidak menentu berikutan jumlah penurunan kadar faedah (AS) minggu depan.

"Oleh itu, kami menjangka ringgit akan mendapat sokongan yang baik berikutan kemungkinan pelonggaran dasar monetari apabila ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS bertemu dan membuat keputusan pada mesyuarat selama dua hari mulai 17 September," katanya kepada Bernama.

Dalam dagangan awal, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding euro kepada 4.7973/8056 daripada 4.7724/7768 pada Khamis, susut berbanding pound kepada 5.6864/6962 daripada 5.6550/6602 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.0609/0666 daripada 3.0364/0395.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9640/9931 daripada 12.8351/8527 dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3291/3351 daripada 3.3190/3224 semalam.

Ia naik berbanding rupiah Indonesia kepada 280.4/281.1 daripada 280.6/281.0 dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.73.

-- BERNAMA