Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Bernama
Ogos 23, 2024 11:30 MYT
Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.3740/3840 berbanding dolar AS daripada 4.3760/3800 semalam. -Bernama
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat, menjelang ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell hari ini di Simposium Jackson Hole.
Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.3740/3840 berbanding dolar AS daripada 4.3760/3800 semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peserta pasaran lebih berhati-hati mengenai prospek ekonomi AS dan ini dapat diterjemahkan kepada penurunan kadar faedah yang dijangka bermula pada September.
Bagaimanapun, katanya Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.5 peratus kepada 101.508 mata semalaman manakala hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun, yang biasanya menunjukkan reaksi terhadap perubahan dalam Kadar Dana Fed, naik tujuh mata asas kepada 3.99 peratus.
"Ringgit dijangka kekal mendatar pada sekitar RM4.37 hingga RM4.38 berikutan pasaran menunggu lebih banyak petunjuk daripada pengerusi Fed, yang dijangka menyampaikan ucapan pada malam ini di Simposium Jackson Hole," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9912/9984 daripada 3.0051/0082 pada Khamis, naik berbanding euro kepada 4.8621/8733 daripada 4.8744/8789 dan meningkat berbanding pound kepada 5.7282/7413 daripada 5.7431/7483 sebelum ini.
Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3379/3461 daripada 3.3474/3507 pada Khamis, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 280.3/281.1 daripada 280.4/280.9 dan menambah berbanding baht Thailand kepada 12.6702/7109 daripada 12.7383/7552 sebelum ini.
Bagaimanapun, ia hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.76/7.79 daripada 7.76/7.78 semalam.
-- BERNAMA
#dolar AS #ringgit #Rizab Persekutuan AS #Jerome Powell