KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi hari ini, disokong oleh dolar AS yang rendah berikutan pasaran di Amerika Syarikat (AS) ditutup pada Isnin sempena Hari Peringatan, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.6900/6950 berbanding dolar AS, naik daripada 4.6940/6990 pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jika tiada data ekonomi utama, ringgit dijangka kekal berhati-hati.

Beliau berkata sentimen pasaran akan mula dipengaruhi oleh pasaran Amerika Syarikat (AS) apabila pengukur inflasi Rizab Persekutuan AS (Fed) dan indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) diumumkan.

"Beberapa pegawai Fed akan berkongsi pendapat mereka mengenai keadaan ekonomi, dijangka mengulangi keperluan untuk mengekalkan dasar monetari yang ketat untuk memastikan inflasi ke arah matlamat dua peratus," katanya kepada Bernama.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.9888/9924 daripada 2.9919/9953 pada Isnin dan meningkat berbanding euro kepada 5.0952/1006 daripada 5.1005/1059 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding pound kepada 5.9891/9955 daripada 5.9881/9945 semalam.

Mata wang tempatan turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4769/4809 daripada 3.4799/4838 pada Isnin dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.8100/8282 daripada 12.8132/8321.

Mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 291.7/292.3 daripada 292.0/292.5 semalam dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.07/8.09 daripada 8.08/8.09.

-- BERNAMA