Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Bernama
Julai 13, 2022 09:53 MYT
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan harga yang lebih rendah telah mendorong sebilangan pelabur untuk kembali kepada mata wang negara pesat membangun, kata peniaga.
Pada 9.06 pagi, mata wang tempatan menokok berbanding unit negara maju kepada 4.4355/4400 daripada 4.4385/4405 sewaktu ditutup pada Selasa.
Peniaga berkata dolar AS kembali mendapat momentumnya pada Selasa selepas senarai gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) yang dipantau rapi mencapai lebih daripada jangkaan pada Jun kepada 372,000 berbanding unjuran konsensus sebanyak 268,000.
Menurutnya data yang memberangsangkan itu akan memberikan sokongan lanjut untuk kenaikan 75 mata asas (bps) lagi dalam Kadar Dana Persekutuan.
Menurut seorang penganalisis semalam, bagi dalam negara, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekali lagi pada mesyuarat pada September sebanyak 25 bps lagi kepada 2.50 peratus.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.
Ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.2729/2783 daripada 5.2539/2562 pada Selasa dan turun berbanding euro kepada 4.4528/4573 daripada 4.4456/4476 sebelum ini.
Bagaimanapun, unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1525/1561 daripada 3.1539/1556 yang direkodkan semalam dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2352/2390 daripada 3.2414/2431.
Pasaran ditutup pada Isnin sebagai cuti ganti bagi cuti umum Aidiladha.
-- BERNAMA
#ringgit #dolar AS #Bank Negara Malaysia #Amerika Syarikat
;