Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS pagi ini

Bernama
Mac 10, 2021 10:22 MYT
Ringgit diniagakan pada 4.1150/1210 berbanding dolar AS pada awal Rabu.
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Rabu dengan para pelabur menjauhi pasaran sambil menantikan pemangkin tempatan baharu untuk menentu hala tuju seterusnya.
Pada pukul 9 pagi, unit tempatan diniagakan pada 4.1150/1210 berbanding dolar AS daripada 4.1150/1200 ketika ditutup pada petang Selasa.
Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata selepas mencecah paras 4.13 pada satu ketika semalam terutamanya disebabkan oleh perolehan bon yang tinggi, pergerakan ringgit telah dikekang oleh ulasan mesra risiko pertukaran wang asing daripada People's Bank of China (PBoC).
Timbalan Gabenor PBoC Chen Yulu mengulangi bahawa China akan terus meningkatkan kebolehtukaran akaun modal dan mendorong pengantarabangsaan yuan secara berhemah.
Sementara itu di pasaran minyak, penanda aras Brent yang diniagakan 0.37 peratus lebih tinggi pada US$67.77 setong turut menyokong ringgit daripada merosot.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.
Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0597/0644 daripada 3.0583/0627 pada petang Selasa dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.7895/7968 daripada 3.7863/7913.
Ringgit, bagaimanapun, naik sedikit berbanding pound Britain kepada 5.7141/7237 daripada 5.7178/7260 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8936/9023 daripada 4.8989/8057.
-- BERNAMA
#ringgit #dolar AS #pasaran #Stephen Innes #pertukaran wang asing
;