Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar AS, pelabur tumpu pengurangan kadar faedah

Bernama
Oktober 9, 2024 09:45 MYT
Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat pada Rabu apabila pelabur mengalihkan tumpuan kepada tahap dan kecepatan pengurangan kadar faedah AS akan datang. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu apabila pelabur mengalihkan tumpuan kepada tahap dan kecepatan pengurangan kadar faedah AS akan datang, selepas yakin pelonggaran monetari akan berterusan, kata pakar ekonomi.
Pada pukul 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2845/2950 berbanding dolar AS, daripada 4.2850/2895 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, trend semasa menunjukkan Indeks Dolar AS (DXY) kekal pada paras tinggi manakala pegawai Rizab Persekutuan AS mengambil sikap berhati-hati terhadap trajektori pengurangan kadar.
"Nampaknya senario pengurangan 50 mata asas mungkin tidak dilaksanakan menerusi mesyuarat akan datang. Kita juga tidak boleh menolak sepenuhnya jeda sekejap-sekejap dalam keputusan penurunan kadar kerana Fed kekal berwaspada terhadap risiko inflasi.
"Pada masa sama, peniaga dan pasaran kecewa dengan jumlah yang disediakan untuk rangsangan fiskal yang diumumkan oleh pihak berkuasa China, menyebabkan keraguan sama ada sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lima peratus boleh dicapai tahun ini," katanya.
Mohd Afzanizam mengulangi bahawa pendirian Fed terhadap kadar faedah dan rangsangan ekonomi pihak berkuasa China telah menimbulkan reaksi bercampur-campur dalam pasaran.
"Ini soal tahap sokongan. Susulan itu, kami berpandangan pengelakan risiko harus stabil dan pembetulan ketara harga minyak mentah Brent daripada US$80.93 setong pada 7 Okt kepada US$77.58 setong pada masa ini sepatutnya mengurangkan kebimbangan mengenai risiko inflasi yang lebih tinggi," katanya.
Oleh itu, ringgit sepatutnya stabil dan mungkin mengalami lantunan semula selepas pembetulan ketara sejak awal bulan, katanya.
Semasa dagangan dibuka, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.7027/7142 daripada 4.7079/7129 pada penutupan semalam, lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.8932/9005 daripada 2.8988/9022 tetapi sedikit rendah berbanding pound British kepada 5.6123/6260 daripada 5.6108/6167.
Nota tempatan menunjukkan prestasi yang bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.
Ringgit lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.7644/8048 daripada 12.7933/8129 semalam dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2854/2937 daripada 3.2876/2913 pada penutupan Selasa.
Bagaimanapun, unit tempatan dinagakan hampir stabil berbanding peso Filipina kepada 7.53/7.55 daripada 7.53/7.54 semalam, dan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 273.6/274.4 daripada 273.6/274.1 semalam. - BERNAMA
#ringgit #dolar AS #pengurangan kadar faedah #mata wang
;