Ringgit dibuka rendah berikutan sentimen berhati-hati

Bernama
Ogos 16, 2024 11:38 MYT
Pada 8.02 pagi, ringgit susut kepada 4.4515/4720 berbanding dolar AS daripada 4.4350/4405 semalam.- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS berikutan peniaga mengambil pendekatan berhati-hati dan menyesuaikan kedudukan mereka susulan jangkaan ketidaktentuan sebelum pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 hari ini.
Pada 8.02 pagi, ringgit susut kepada 4.4515/4720 berbanding dolar AS daripada 4.4350/4405 semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata anggaran konsensus ialah pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka mencapai 5.8 peratus.
"Sekiranya angka tersebut mengejutkan dengan mencatatkan lebih baik, ia mungkin meningkatkan nilai ringgit. Jika tidak, peniaga mungkin cenderung untuk mengambil pendekatan berhati-hati," katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, katanya ringgit boleh berada antara RM4.43 dan RM4.45 berbanding dolar AS hari ini.
Di Amerika Syarikat (AS), Mohd Afzanizam berkata terdapat sentimen untuk mengambil risiko dengan data AS yang lebih baik daripada jangkaan semalam.
"Jualan runcit AS meningkat 1.0 peratus bulan ke bulan pada Julai berbanding anggaran konsensus merosot 0.2 peratus manakala tuntutan pengangguran awal turun kepada 227,000 daripada 234,000 minggu lepas.
"Walaupun pandangan mengenai penurunan kadar faedah masih relevan, terdapat spekulasi yang meningkat bahawa penurunan 25 mata asas akan memadai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang pada September, dengan satu lagi penurunan 25 mata asas pada Disember, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 50 mata asas pada tahun ini," katanya.
Justeru, Mohd Afzanizam berkata hasil perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun melonjak 13 mata asas kepada 4.09 peratus manakala Indeks Dolar AS (DXY) naik 0.40 peratus kepada 102.977 mata.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia merosot berbanding pound kepada 5.7246/7510 daripada 5.7007/7078 dan rendah berbanding euro kepada 4.8851/9076 daripada 4.8838/8899 semalam.
Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9844/9983 daripada 3.0092/0132.
Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3667/3825 daripada 3.3657/3699, rendah berbanding peso Filipina kepada 7.82/7.86 daripada 7.79/7.80 dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 283.5/284.9 daripada 282.5/282.9 semalam.
Bagaimanapun, ia tidak berubah berbanding baht Thailand pada 12.6805/7502.
-- BERNAMA
#ringgit #dolar AS #pengumuman data KDNK #pendekatan berhati-hati