Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS, tinggi berbanding mata wang utama lain

Bernama
September 2, 2024 09:20 MYT
Pada pukul 8.16 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.3200/3380 berbanding dolar AS daripada 4.3185/3225 ketika ditutup pada Jumaat lepas. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) namun, meningkat berbanding mata wang utama lain semasa awal dagangan pada Isnin, ekoran pelabur akan memantau mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) dan tindakan Rizab Persekutuan (Fed) berkenaan kadar faedah, kata penganalisis.
Pada pukul 8.16 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.3200/3380 berbanding dolar AS daripada 4.3185/3225 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit sewajarnya kekal positif hari ini kerana Fed AS berada di landasan untuk mengurangkan kadar faedah bulan ini.
"Pada masa sama, BNM dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras yang stabil sepanjang baki tempoh tahun ini.
"Ini akan menjadikan ringgit kelihatan sangat menarik dari sudut pandang pelabur asing," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, justeru, ringgit berbanding dolar AS mungkin cuba untuk melepasi paras sokongan serta-merta pada 4.3050.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama pagi ini.
Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9518/9645 daripada 2.9754/9784 ketika ditutup Jumaat lepas, dan lebih stabil berbanding euro kepada 4.7723/7922 daripada 4.7862/7906.
Ringgit juga naik berbanding pound British kepada 5.6713/6949 daripada 5.6939/6992.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3083/3224 daripada 3.3158/3191 ketika ditutup minggu lepas, dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.6798/7375 daripada 12.7540/7726.
Ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 279.4/280.8 daripada 279.3/279.8, dan hampir kekal mendatar berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.73 daripada 7.69/7.70. - BERNAMA
#ringgit #dolar AS #ringgit dibuka rendah #rizab persekutuan