Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS susulan pembetulan teknikal

Bernama
Januari 5, 2022 10:21 MYT
Pada 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1920/1932 berbanding dolar AS daripada 4.1860/1880 pada akhir urus niaga semalam. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan pembetulan teknikal akibat aktiviti pengambilan untung dalam persekitaran harga minyak mentah yang kukuh, kata peniaga.
Pada 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1920/1932 berbanding dolar AS daripada 4.1860/1880 pada akhir urus niaga semalam.
Perkembangan yang menyaksikan harga minyak mentah Brent meningkat dan diniagakan 0.29 peratus lebih tinggi kepada US$80.23 setong pada pagi ini, turut menyuntik sokongan terhadap ringgit.
Sementara itu, kalangan peniaga akan terus memantau risiko impak varian Omicron selain menumpukan pengumuman minit-minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS dan data pembayaran gaji di negara maju itu pada minggu ini.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0905/0916 daripada 3.0891/0906 tetapi meningkat berbanding yen kepada 3.6076/6089 daripada 3.6133/6153 sebelum ini.
Unit tempatan itu rendah berbanding pound Britain kepada 5.6718/6734 daripada 5.6465/6489 pada Selasa namun mengukuh berbanding euro pada 4.7277/7291 daripada 4.7310/7337.
-- BERNAMA
#ringgit #dolar AS #harga minyak #Rizab Persekutuan AS
;